Justeru, mereka sentiasa menjadi teras atau tulang belakang dalam pembangunan dan kemajuan bangsa dan negara.

Bagi melahirkan generasi belia yang berwibawa, berilmu dan berkemahiran serta berdaya saing dalam pelbagai bidang, kerajaan sentiasa memperuntukkan dana yang besar bagi pembangunan golongan tersebut, termasuk belia di tanah rancangan Felda.

Pada tahun ini pelbagai barang keperluan bernilai RM2 juta akan diagih-agihkan kepada Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) di seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan imej mereka agar dapat bergerak dengan lebih aktif dan berkesan.

Presiden MBFM, Muhammad Fadzli Hasan berkata, peruntukan yang turut melibatkan peralatan sukan itu diserahkan sempena Karnival Jaguh Sukan Felda Negaraku Malaysia 2018 yang berlangsung di Padang Awam Felda Air Tawar 2, dekat sini baru-baru ini.

“Dana dan barang keperluan ini kita berikan kepada 11 wilayah dan 317 cawangan MBFM yang terdapat di seluruh rancangan Felda melibatkan jumlah RM2 juta.

“Harapan saya dengan adanya sedikit keperluan yang diperoleh ini kita dapat terus bersama-sama tingkatkan imej belia Felda dan seterusnya dapat menjadinya mempunyai visi dan misi ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Felda 2.0,” katanya pada karnival tersebut.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain; Timbalan Pe­ngarah Besar Felda (Pembangunan Komuniti), Anuar Malek dan Pengerusi MBFM Wilayah Johor Bahru, Mahadir Mohd. Tahar serta Presiden Majlis Belia Nege­ri Johor, Manndzri Nasip.

Muhammad Fadzli mengakui pembangunan tanah rancangan itu telah berjaya mengubah nasib warganya daripada miskin suatu ketika dahulu menjadi lebih se­nang pada masa ini.

Oleh yang demikian, kini tiba masanya belia Felda kembali berkhidmat untuk Felda dan warganya dengan cara sentiasa bersama-sama pihak rancangan Felda dalam apa juga perkara.

Terdahulu, lebih 1,000 orang memeriahkan karnival berkenaan yang menampilkan pelbagai acara sukan dan cabutan nombor ber­tuah berupa sebuah motosikal.