Pengarahnya, Abdul Malik Ismail berkata, antaranya dengan memperhebatkan kempen dan promosi pelancongan negeri ini ke luar negara dengan fokus utama di pasaran-pasaran yang mempunyai perkhidmatan pe­ner­­bangan ke Johor Bahru.

“Kita juga meneruskan dan memperbanyakkan penyertaan dalam pameran pelancongan domestik seperti anjuran Persa­tuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Karnival Pelancongan Anta­ra­bangsa Malaysia (MITM) serta Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA).

“Bagi menggalakkan pelancongan domestik Tourism Johor bercadang mengadakan Johor showcase di beberapa negeri terpilih,” katanya berucap dalam majlis Makan Malam Tourism Johor Bersama Pengerusi dan Ahli-ahli MATTA Johor di Hotel Mutiara di sini baru-baru ini.

Pihaknya akan memperba­nyak­kan pakej pelancongan di negeri ini dan sebagai langkah permulaan MATTA akan membantu menyediakan 50 pakej pelancongan pada tahun ini untuk dipasarkan.

Jelas beliau, pihaknya akan mempelbagaikan penganjuran acara pelancongan dan antara yang akan dilakukan tahun ini ialah Larian Bangsa Johor dan Festival Makanan Johor secara besar-besaran.

Begitu juga ujarnya, membantu daerah-daerah khususnya yang aktif membangunkan industri pelancongan setempat dan sebagai permulaan Tourism Johor akan melakukannya di Muar.

Beliau berkata, ketika ini industri pelancongan Johor berada pada landasan yang betul untuk terus maju ke depan disokong dengan beberapa faktor antara­nya projek Desaru Coast yang siap dan beroperasi pada suku kedua tahun ini.

“Ini termasuk pertambahan laluan antarabangsa perkhidmatan penerbangan ke Johor Bahru iaitu dari Kolkata (India) dan Macau (China) dengan terbaharu penerbangan sewa khas dua kali seminggu dari Seoul, Korea Selatan ke Johor Bahru,” katanya.

Menurutnya, peringkat dae­rah-daerah di bawah Pelan Pembangunan Strategik Negeri Johor sudah mula menggerakkan program pelancongan dan contoh­nya penubuhan Persatuan Pelancongan Muar.