Bukti tulisan jawi tidak dipinggirkan dapat dilihat dengan jelas menerusi penyertaan menggalakkan orang ramai setiap kali pe­nganjuran program Semarak Jawi oleh Johor Corporation (JCorp) yang menjelajah ke seluruh pelusuk negeri ini.

Pengarah Eksekutif Kulim (Malaysia) Berhad, Zulkifly Zakariah berkata, Jelajah Semarak Jawi merupakan inisiatif JCorp untuk menyema­rak dan menyuburkan budaya menggunakan tulisan jawi dalam kala­ngan rakyat di semua pe­ringkat di negeri ini.

“Pendekatan yang kami lakukan ini merupakan salah satu usaha secara krea­tif dan segar bertujuan menggalakkan masyarakat terutamanya generasi muda memahami serta menghayati tulisan jadi agar tulisan jawi tidak dipinggirkan dan dilupakan.

“Program Jelajah Semarak Jawi ini merangkumi pertandingan penulisan esei dalam tulisan jawi, kuiz jawi dan pertandingan khat jawi bertujuan membudayakan pengunaan tulisan jawi dalam kalangan pelajar secara menyeluruh,” katanya pada program Jalinan Ukhwah, Semarak Jawi, Catur dan Cilik Bestari JCorp di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Bentara Dalam, dekat sini baru-baru ini.

Beliau berkata, program tersebut merupakan kali kedua diadakan pada tahun ini melibatkan 17 sekolah menengah dan rendah di daerah Segamat dengan penyertaan seramai 247 pelajar.

Menurutnya, pertandingan tersebut juga memberi peluang kepada orang ramai, khususnya peserta untuk memahami tulisan jawi secara santai dan menyeronokkan.

Sementara itu, Pengerusi Ja­watankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penera­ngan negeri, Dayuk Ayub Rahmat berkata, usaha JCorp memartabatkan tulisan jawi yang sinonim dengan al-Quran merupakan satu langkah murni sejajar de­ngan aspirasi kerajaan negeri yang mahu generasi muda menguasai bacaan, memahami dan mengamalkan kandungan kitab suci itu.

Beliau berkata, tulisan jawi semakin kurang digunakan dipercayai bermula pada tahun 1950-an kesan daripada penjajahan di kawasan Nusantara.

“Menerusi penganjuran program ini saya harap masyarakat Melayu di sini mengambil ke­sempatan untuk memperkasakan pengunaan tulisan jawi.

“Saya berharap usaha murni yang dilakukan oleh JCorp ini bu­kan sahaja mampu melahirkan golongan celik jawi, malah men­jadi contoh kepada badan korporat lain untuk turut sama me­nyumbang mengembalikan za­man kegemilangam tulisan jawi,” katanya.