Masakan tidak, markah yang diperoleh murid darjah lima Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chaah, Segamat itu hanyalah 40 daripada 100.

Menurutnya, kegagalan menguasai tulisan jawi antara punca dia tidak mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran itu.

Walau bagaimanapun, semua­nya berubah apabila dia dan se­orang lagi rakannya dihantar me­nyertai Kem Cemerlang Jawi Perdana Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga yang berlangsung di Pusat Kokurikulum, di sini baru-baru ini.

“Saya akui ada masalah untuk memahami tulisan jawi dan akhir­nya menjejaskan keputusan peperiksaan Pendidikan Islam yang diduduki.

“Namun, sepanjang tiga hari me­ngikuti kem ini, saya telah mempelajari pelbagai kaedah pembelajaran dalam tulisan jawi dan berjaya memperoleh 90 markah dalam ujian yang diadakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seramai 88 murid darjah empat hingga enam yang terpilih dari negeri ini menyertai kem berkenaan yang dibimbing oleh 22 fasilitator yang terdiri daripada guru agama.

Program itu merupakan salah satu acara sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 yang dianjurkan di sini baru-baru ini.

Kem tersebut turut mendapat kerjasama akhbar Utusan Malaysia dan Johor Corporation (JCorp) bertujuan meningkatkan penguasaan, kefahaman dan kemahiran peserta dalam tulisan jawi.

Antara pengisian program termasuk memberi pengetahuan asas mengenai tulisan jawi, kemahiran membaca, menyelesaikan teka silang kata, kuiz dan permainan berasaskan tulisan jawi yang dilakukan menerusi latihan dalam kumpulan.

Majlis penutupan kem disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan, Norhayati L. Isa dan dihadiri oleh Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif.

Muhd. Shahrizal Haja Saleh Arabie, 10, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Rimba Terjun, Pontian turut mengakui pemahamannya dalam tulisan jawi semakin meningkat selepas mengikuti kem berkenaan.

“Mungkin pendekatan dan tek­nik pengajaran tulisan jawi di kem ini yang dilakukan secara santai dan di luar bilik darjah membuatkan kami lebih mudah untuk memahami tulisan berkenaan.

“Saya berharap agar kem sebegini dapat diteruskan pada masa depan kerana banyak memberi manfaat kepada murid-murid yang mempunyai masalah pem­belajaran dalam tulisan jawi se­perti saya,” katanya.