Selepas kedatangan bangsa Eropah pada dekad-dekad berikutnya, tulisan jawi masih digunakan seiring dengan tulisan rumi, namun kedudukannya semakin ‘tergugat’ setelah pengisytiharan Akta Bahasa Kebangsaan pada 1963.

Seiring peredaran zaman, pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan dan pelbagai pihak bagi memastikan tulisan jawi tidak te­rus lupus terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Syarikat konglome­rat milik kerajaan nege­ri, Johor Corporation (JCorp) contohnya, antara yang aktif memperjuangkan tulisan jawi dewasa ini dan terbukti menerusi komitmennya menaja penerbitan akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan.

Sebanyak 5,000 naskah Utusan Melayu Mingguan setiap minggu telah diedarkan di sekolah terpi­lih di negeri ini pada setiap Isnin selama 52 minggu.

Malah, menerusi kerjasama JCorp dan Utusan Melayu (M) Berhad, maka terhasilkan sebuah portal jawi yang pertama seumpa­manya di negara ini.

Selain penajaan akhbar dan penghasilan portal itu, JCorp menerusi tanggungjawab korporatnya turut memperkenalkan Program Semarak jawi sejak dua tahun lalu bertujuan untuk memperkasa dan membudayakan tulisan jawi.

Baru-baru ini, program berke­naan yang dijalankan bersama-sama Program Jalinan Ukhuwah serta Cabaran Catur dan Cilik Bistari berlangsung dengan jaya­nya di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Raja, di sini.

Sebanyak 60 pelajar dan 15 guru daripada lima buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) serta 110 murid dan 32 guru daripada 11 buah SK dari sekitar daerah ini menyertai program berkenaan.

Naib Presiden Kanan Divisyen Tanggungjawab Korporat JCorp, Jamaludin Md. Ali ber­kata, program itu adalah siri pertama penganju­ran program berkenaan pada tahun ini dan akan diteruskan ke lokasi-lokasi berikutnya.

Beliau berkata, antara objektif penganjuran program tersebut adalah bagi memperkasakan kembali tulisan jawi khususnya dalam kala­ngan pelajar sekolah.

“Bersempena dengan Program Semarak Jawi ini, kita telah me­ngadakan aktiviti seperti jelajah jawi, pertandingan menulis esei jawi, pertandingan tulisan khat di samping pertandingan catur bagi sekolah rendah dan menengah.

“Ia dianjurkan bagi membudayakan penggunaan tulisan jawi melalui pendekatan yang menye­ronokkan, bukan sekadar sebagai satu pembelajaran bersifat konvensional semata-mata,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan.

Program berkenaan yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Ne­ge­-
ri (ADUN) Parit Raja, Puan Sri Azizah Zakaria turut dihadiri Pegawai Pendidikan daerah, Md. Said Md. Daimon dan Guru Besar SK Parit Raja, Mohamad Nor Rasah.

Menurut Jamaludin, menurusi pelbagai program yang dijalankan itu jelas menunjukkan betapa JCorp komited untuk menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Sebagai sebuah konglomerat negeri, kita mahu rakyat Johor dan masyarakat di seluruh negara secara amnya mendapat manfaat daripada kejayaan JCorp dan syarikat dalam kumpulannya.

“Dengan sokongan semua, program-program seperti Sema­rak Jawi bagi memperkasakan tulisan jawi ini akan dapat dite­ruskan pada masa akan datang,” katanya.

Ujarnya, apa yang dilakukan dilakukan oleh JCorp itu adalah bagi memastikan tulisan jawi ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.