Penglibatan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyemarakkan lagi program itu yang dianjurkan di Komplek Penghulu Mukim Serkat di sini baru-baru ini.

Antara NGO yang terlibat Ge­rakan Rakyat Dihati, Kumpulan Usa­hawan Sahabat Ikhtiar Tanjung Piai (KUSITP) dan Komuniti Sihat Perkasa Negara (Kospen) serta Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup.

Menurut Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh, program itu memberikan banyak maklumat kepada wanita mengenai penyakit yang menjadi ancaman kepada mereka selama ini.

Antaranya penyakit kanser payu dara dan kanser pangkal rahim yang memerlukan pengesanan awal bagi mengelakkannya merebak dan boleh mengancam nyawa mereka yang menghida­pinya.

Menurutnya, walaupun sebelum ini maklumat diperoleh mela­lui media tetapi melalui program itu mereka mendengar sendiri ba­haya, kesan dan pencegahan penyakit tersebut daripada pence­ramah yang dibawa khas da­ripada LPPKN.

Menurutnya, sebagai tulang belakang kesejahteraan keluarga, kaum wanita tidak perlu bimbang untuk melalui pemeriksaan awal pap smear agar segala masalah dapat dikesan di peringkat awal.

“Kita tidak mahu mendengar lagi perkhabaran ada ibu, kakak dan adik-beradik kita menghadapi penyakit itu dikesan sudah lambat dan berada pula pada tahap kritikal baru disedari,” kata­nya selepas merasmikan program tersebut.

Suhaimi berkata, pihaknya ter­panggil untuk memberikan sokongan kepada program itu sebagai tanda perihatin kepada masalah yang dihadapi oleh sesetengah golongan wanita di negara ini.

“Program itu dimulakan de­ngan saringan kesihatan sebelum mereka membuat pemeriksaan pap smear di atas bas LPPKN sebelum menerima keputusan daripada pegawai perubatan yang bertugas.

“Mereka perlu membuang perasaan malu dan segan untuk membuat pemeriksaan kerana keputusan sama ada negatif atau sebaliknya dirahsiakan dan ha­nya yang punya diri tahu keputusannya,” ujarnya.

Dalam masa sama katanya, memberikan peluang kepada ahli KUSITP menjual pelbagai produk mereka antaranya makanan, pakaian, penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan kepada pengunjung.

Ini tentunya memberikan me­reka kesempatan untuk lebih berdaya saing bagi memajukan perniagan kerana rata-ratanya disertai oleh kaum ibu yang ingin menambah pendapatan keluarga.

Sementara itu, Pemangku Pe­ngarah LPPKN negeri, Zakiah Md. Noh berkata, pihaknya turut mengadakan program Wellbeing of Women (WOW) selama tiga bulan pada hujung tahun lalu yang mempunyai persamaan dengan program Untukmu Wanita dan Kesihatan.

Katanya, tujuan program itu diadakan bagi meningkatkan kese­daran golongan wanita mengenai kepentingan ujian pap smear de­ngan sasaran LPPKN seramai 8,750 orang dalam tempoh tersebut.

Menurutnya, program WOW dapat mengenal pasti dan mendapatkan rujukan bagi wanita yang mengalami pra kanser dan kanser servikas serta tindakan susulan ke hospital atau klinik kesihatan.

“Penduduk di kawasan Kukup bertuah kerana LPPKN telah dapat menghantar bukan sahaja pegawai tetapi juga bas khas yang menjadi ‘rebutan’ di mana-mana lokasi seperti ini,” katanya.

Zakiah berkata, sambutan program WOW masih rendah dan tidak sampai 2,000 wanita yang tampil secara sukarela membuat pemeriksaan yang diadakan secara percuma itu.

Tambahnya, undangan me­nyertai program WOW yang dianjurkan ADUN Kukup itu memberikan LPPKN peluang untuk turut sama menjelaskan kepada wanita pentingnya membuat pemeriksaan.

“Sama ada tua atau muda, mereka berisiko menghidapi penyakit kanser payu dara dan pangkal rahim yang menyebabkan penghidapnya mendapatkan rawatan lanjut dari masa ke semasa,” ujarnya.