Universiti Johor adalah gabungan daripada institusi yang sedia ada seperti Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah), Kolej Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) dan sebagainya.

Kelulusan juga bukan hanya di peringkat diploma tetapi di peringkat ijazah, sarjana dan sebagainya gra­duan yang dilahirkan nanti memenuhi kehendak industri, kerajaan dan komuniti.

Bagi memastikan penubuhan universiti itu mencapat matlamatnya, sesi Sumbangsaran: Keperluan Universiti Johor diadakan di Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ) di sini baru-baru ini.

Seramai 45 ahli akademik dan ketua agensi kerajaan negeri berhimpun di KYPJ yang diketuai bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed melibatkan segmen pembentangan, forum dan perbincangan meja bulat.

Timbalan Dekan Inovasi dan Penyelidikan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Naomie Salim membuat pembentangan mengenai konsep Universiti Johor diikuti Forum Keperluan Universiti Johor Dari Perspektif Ekonomi dan Industri Negeri Johor.

Selain dihadiri ahli-ahli dan tokoh akademik, Sesi Sumbangsaran itu juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ (KPYPJ), Nasri Md. Ali serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Yeo Tung Siong (Pekan Nanas), Dr. Sulaiman Mohd. Nor (Kemelah) dan Ir. Khairuddin A. Rahim (Senggarang).

Antara lain sesi sumbangsaran bertujuan mengenal pasti objektif Universiti Johor serta mengenal pasti kursus-kursus yang bakal ditawarkan agar menepati kehendak pembangunan ekonomi Negeri Johor serta memiliki kebolehpasaran graduannya.