Pemangku Ketua UMNO bahagian, Ismail Mohamed berkata, sumbangan diberikan kepada tiga kategori, iaitu jemaah haji, bakal penuntut yang akan melanjutkan pengajian dan pelatih Pusat Dalam Komuniti (PDK) yang berada dalam Parlimen tersebut.

“Untuk bakal jemaah haji, sumbangan dalam bentuk barangan seperti telekung, kain ihram dan wang telah diagih-agihkan kepada 70 orang bagi memudahkan urusan mereka di Tanah Suci nanti.

Bagi 68 pelajar yang akan me­lanjutkan pengajian, kita memberikan sumbangan berbentuk wang tunai tanpa mengira jenis pengajian, iaitu merangkumi sijil, diploma atau ijazah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, UMNO Bahagian Pagoh turut mengambil kesempatan menyantuni seramai 60 pelatih PDK di Lenga dan Felda Moakil melalui pengagihan duit raya selain mengembirakan mereka dengan juadah KFC.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, bantuan yang diberikan itu diharap dapat dimanfaatkan oleh penerima bagi memudahkan urusan ma­sing-masing.

“Pemberian sumbangan sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ini telah dilaksanakan saban tahun cuma sebelum ini ia dibuat di peringkat DUN Bukit Serampang, tetapi kali ini kita adakan untuk Parlimen Pagoh.

“Tetamu yang hadir juga amat memberangsangkan kerana tujuan majlis ini diadakan bukan sahaja meraikan penerima sumbangan, namun mengeratkan hubungan silaturahim bersama-sama penduduk,” katanya.