Namun bagi kaki pancing, musim tengkujuh amat dinantikan kerana taburan hujan yang banyak menyebabkan air sungai naik dan ikan keluar mencari makanan.

Sebelum boleh menjadi ‘penunggu’ tebing untuk meman­cing pelbagai spesies ikan air tawar yang ‘menggila’ keluar mencari makan ketika air naik, pemancing terpaksa bermandi peluh terlebih dahulu untuk mencari umpan yang sesuai.

Ini kerana kaki pancing ter­utama pemburu baung perlu menyusuri anak sungai memburu sejenis ulat kumbang yang dikenali sebagai ulat pasir atau ulat kemal dalam kalangan penduduk di sini, untuk dijadikan umpan.

Seorang kaki pancing, Zahbar Samah, 47, dari Pekan Air Nanas di sini, mengakui tiada keseronokan memancing jika tidak membawa ulat kemal sebagai umpan walaupun masih boleh menggunakan cacing atau cengkerik.

“Ulat kemal sesuai digunakan sebagai umpan memancing baung di sungai yang dasarnya berpasir.

“Kalau kena pada lubuknya, umpan ulat kemal ini mampu memberi hasil yang lumayan kerana merupakan umpan terbaik untuk ‘memburu’ baung di kebanyakan sungai di sekitar daerah ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dia mengakui bukan mudah mencari ulat kemal dan memerlukan kesabaran serta penga­laman bagi mengenal pasti ke­dudukan serta keadaan pasir yang digemari kumbang bertelur sebelum menetas bertukar menjadi ulat dalam proses kitaran hidupnya.

Adakalanya pemburu ulat kemal terpaksa pulang tangan kosong walaupun sudah bermandi peluh mengorek pasir di sepanjang anak air atau sungai kecil disebabkan lokasi tersebut bukan kawasan yang sesuai untuk kumbang bertelur.

“Selalunya kami akan menggali timbunan pasir seluas 10 kaki persegi untuk mencari ulat kemal yang selalunya ‘bertapa’ dalam pasir. Jika tidak menjumpainya kami akan berpindah ke kawasan lain sehingga menemui kawasan yang menjadi ‘sarangnya’.

“Jika tidak bernasib baik, pencarian perlu diulang di kawasan berbeza dan memakan masa berjam-jam lamanya. Jika bernasib baik boleh memperoleh antara 70 hingga 80 ekor ulat tidak sampai satu jam sahaja tanpa perlu berpindah ke kawasan lain,” katanya.

Zahbar berkata, saiz ulat kemal adalah sebesar puntung rokok dengan panjang kira-kira tiga sentimeter dan terdapat dua warna, iaitu kekuningan dan putih menyerupai ulat habuk kayu atau ulat tandan kosong kelapa sawit.

Menurut bapa kepada tiga anak berusia antara 11 hingga 15 tahun itu, berbanding ulat kumbang lain yang boleh didapati di timbunan habuk kayu dan tandan kelapa sawit kosong, ulat kemal tidak mudah bertukar warna kehitaman dan lebih tahan lama berendam dalam air ketika memancing.

Tambahnya, ulat kemal boleh disimpan sehingga tujuh hari sebelum mati dan membengkak serta tidak lagi sesuai dijadikan umpan.

“Cara terbaik menyimpannya adalah merendam ulat tersebut dalam air sungai atau air tanpa klorin kerana kandungan klorin dalam air boleh menyebabkannya cepat mati dan busuk.

“Saya dan rakan peman­cing lain sudah beberapa kali men­cuba untuk menyimpan ulat tersebut dalam pasir seperti ha­bitat asalnya sebelum ini dengan harapan boleh bertahan lama, namun setakat ini kaedah tersebut masih belum berjaya,” katanya.