Pusat kecergasan yang mengkhususkan sesi senaman kepada kaum hawa itu dilancarkan oleh Isteri Menteri Besar, Datin Nora Md. Som dalam satu majlis yang dihadiri lebih 100 pengunjung.

Pengarah Twinmarissa Boutique and Fitness Studio, Idayuwati Ahmad berkata, kedua-dua segmen perniagaan yang diusahakan bersama-sama kakaknya, Mimirahayu itu semakin mendapat sambutan ramai.

“Sejak beroperasi lebih dua tahun lalu, pelbagai aktiviti senaman kesihatan serta kecergasan dilakukan di sini hasil kendalian tiga jurulatih tetap dan tiga jurulatih undangan.

“Bagi butik pula, kepelbagaian pakaian dan aksesori terkini sentiasa menambat hati wanita untuk menambah koleksi masing-masing, malah kami kini menambah satu lagi produk iaitu Zuan Perfume yang diusahakan bekas peserta Akademi Fantasia, Azuan Satar,” katanya selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

twinmariisa
Nora Md Som (tengah) bergambar kenang-kenangan bersama para tetamu kehormat yang hadir semasa majlis pelancaran Twinmarissa Boutique & Fitness Studio di Batu Pahat, semalam.

Tambah Idayuwati, pihak­nya merancang untuk berker­jasama dengan pasukan beruniform di daerah ini bagi mengadakan aktiviti kecergasan kepada pegawai dan anggota wanita.

“Kita juga akan melaksanakan program bersama pihak sekolah kerana aktiviti kecergasan seperti zumba, aerobik, aerodance dan workout boleh membantu mengekalkan kesihatan,” ujarnya.

Sementara itu, bagi kaum lelaki, Idayuwati memberitahu, pihaknya kini membuka pentas khusus kepada mereka tanpa penglibatan wanita pada setiap Ahad bermula pukul 2 hingga 3 petang.