Tegas beliau, tujuannya bagi memastikan sehingga keadaan benar-benar selamat untuk pelajar dan guru meneruskan sesi pembelajaran.

“Ketika ini, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang melakukan kerja-kerja pembersihan bagi memastikan keadaan persekitaran dan kualiti udara selamat daripada sebarang bentuk pencemaran bahan kimia serta mengenal pasti punca pencemaran agar kejadian ini tidak berulang.

“Saya juga dimaklumkan tiga suspek terdiri daripada dua pemilik syarikat dan seorang pekerja yang dipercayai membuang sisa kimia ke dalam Sungai Kim Kim sudah ditahan oleh pihak berkuasa dan akan didakwa dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini tengah malam tadi.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membuang bahan kimia ke sungai itu sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran sisa kimia yang menjejaskan alam sekitar dan penduduk setempat.

Katanya, insiden pencemaran sungai hingga menyebabkan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih di Pasir Gudang ditutup tengah hari semalam adalah di luar jangkaan dan amat dikesali.

Osman berkata, Khamis lalu kedua-dua sekolah itu diarahkan tutup berikutan pencemaran udara berikutan pembuangan sisa kimia ke Sungai Kim Kim namun dibuka semula pagi semalam selepas disahkan selamat, namun pada tengah hari kejadian sama berulang.

Menurutnya, kira-kira lima jam selepas sesi sekolah bermula ramai pelajar dan guru dari dua sekolah berkenaan mengadu mengalami gejala seperti muntah, loya dan sakit kepala sehingga menyebabkan 61 orang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini sehingga pukul 5.30 petang.

Osman berkata, JPBBD membuat keputusan untuk membuka semula kedua-dua sekolah berkenaan selepas membuat penilaian keselamatan dan mendapati keadaan udara di sekolah itu selamat daripada sebarang unsur pencemaran bahan kimia yang berlaku minggu lalu. - UTUSAN ONLINE