Bagi memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang dilancarkan pada 6 September tahun lalu dan pelan tersebut terhasil perbincangan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus mencerminkan denyut nadi dan aspirasi rak­yat.

Menurut Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, menerusi Bajet 2015 yang dibentangkan pada 10 Oktober lalu, kerajaan memperuntukkan RM56 bilion bagi menggerakkan sektor pendidikan negara.

Beliau berkata, untuk melahirkan modal insan berkualiti tidak semata-mata bergantung kepada kecemerlangan akademik, malah turut dijana oleh kemahiran insan yang berteraskan nilai-nilai murni sejagat.

“Untuk itu bagi melahirkan le­bih ramai modal insan kaya dengan ilmu, tujuh kemahiran insaniah perlu diterapkan dalam diri pelajar agar dapat membantu mereka menjadi tidak 'miskin' ilmu kemahiran.

“Tujuh kemahiran itu adalah kemahiran berkomunikasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran keusahawanan, etika dan moral profesional dan kemahiran kepimpinan. Kesemua ramuan ini perlu disemai di peringkat sekolah lagi,” katanya pada Majlis Kecemerlangan Kokurikulum peringkat ne­geri, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Pendidikan, Md. Hasidin Zaini; Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Yasmin Jamsir dan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi, Md. Din Hussein.

Noor Ehsanuddin yang juga Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) berkata, kemahiran insaniah tidak boleh semata-mata digali daripada buku atau dikutip di dewan kuliah, sebaliknya perlu turun ke lapangan.

Menurutnya, untuk menjadi modal insan yang kaya ilmu tetapi miskin kemahiran insaniah ibarat seperti menyemai benih menjadi pokok merimbun tetapi tidak berbuah.

“Untuk itu, dapat kita lihat betapa pentingnya guru mendulang kemahiran insaniah ini di lapangan kokurikulum pada hari ini. Kita bukan sahaja mahu melahirkan gene­rasi Ulul Albab yang bukan sahaja kukuh rohaninya, kaya ilmu dan hati budi tetapi juga dapat membentengi diri daripada budaya liar,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha tersebut, semua pihak khususnya guru dan ibu bapa perlu memastikan bahawa pelajar yang dilahirkan tidak lagi hanya memiliki ilmu dan kemahiran biasa, sebaliknya mempunyai kebolehan terbaik untuk membantu negara dan menghadapi persaingan sengit pada masa depan.

Pada majlis itu, Noor Ehsanuddin bersama kira-kira 500 tetamu turut mengambil peluang untuk bersama-sama mempromosikan wajah baharu Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia kepada hadirin.

Beliau menyifatkan wajah baharu akhbar keluaran Utusan Melayu (M) Berhad itu amat menarik dan memenuhi kehendak pembaca termasuk golongan muda.