Pengarahnya, Othman Abdul­lah berkata, unit bomba komuniti itu berperanan sebagai pasukan pertama yang bertindak bagi mengawal kebakaran sebelum ketibaan pasukan JBPM di tempat keselamatan bagi menyelamatkan kerosakan harta benda dan nyawa.

Katanya, setakat ini keahli­an bomba komuniti melibatkan kira-kira 1,300 orang dan mempu­nyai 30 pasukan bomba sukarela membabitkan seramai 929 orang.

“Secara purata pada tahun lalu, kita mengendalikan 29 kes melibatkan kebakaran dan kecemasan setiap hari. Jadi, kita tidak boleh lagi bergerak secara bersendirian dan memerlukan masyarakat untuk bersama JBPM dalam tugas keselamatan kebakaran.

“Sebab itu, kita menubuhkan pelbagai entiti seperti bomba komuniti, bomba sukarela dan pa­sukan tindakan kecemasan (ERT) di bangunan ditetapkan. Menerusi usaha ini, kita akan latih seberapa ramai orang awam untuk berdepan situasi kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perbarisan Tahunan JBPM negeri di Dewan Serbaguna Kuaters Bomba Johor, di sini hari ini.

Katanya, kita menyasarkan untuk meningkatkan keahlian bomba komuniti kepada 3,000 orang pada tahun ini membabitkan penduduk di kawasan perumahan dan di kampung.

Dalam perkembangan lain, Othman berkata, pada tahun lalu JBPM negeri menerima 10,563 panggilan melibatkan kebakaran (3,584), penyelamat (6,556), tugas-tugas khas (315) dan panggilan palsu (105).

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk memuatkan turun aplikasi Bomba Johor bagi memudahkan mereka untuk menghubungi secara terus balai bomba berhampiran sekiranya berlaku kecemasan.

“Aplikasi ini mudah diakses bagi membantu masyarakat meng­hubungi bomba di kawa­san berdekatan di lokasi kejadian secara terus. Aplikasi ini bukan sahaja boleh digunakan di negeri ini malah boleh digunakan di seluruh negara,” katanya.