Lebih memeriahkan majlis dengan pelbagai program di­ja­­lankan beberapa hari sebe­lum itu, termasuk demonstrasi membu­at makanan tra­disi etnik ber­kenaan iaitu burasak, pertanding­an dam aji dan cera­mah agama.

Nyata, kelainan sambutan ter­sebut ibarat sebuah karnival yang dapat menarik ramai pe­ngunjung.

Lebih manis, majlis berkenaan turut diserikan dengan keha­diran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Turut meluangkan masa menghadiri majlis berkenaan ialah Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Md. Othman Yusof; Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan Pegawai Daerah Pontian, On Jabbar @ Jaa­far.

Majlis sambutan Aidilfitri yang bermula pukul 10 pagi tersebut menarik kira-kira 4,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum dan mereka dijamu dengan aneka juadah termasuk rendang, ketupak, bu­rasak, kambing panggang, asam pedas ikan parang, tempe goreng dan lepat loi.

Sambil menjamu selera, tetamu turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan hiburan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh mengakui amat terharu dengan kesudian Sultan Johor untuk bersama-sama memeriahkan majlis tersebut.

Menurutnya, kehadiran Men­teri Besar dan pemimpin setempat serta rakyat berbilang kaum terma­suk masyarakat Cina dan India dari seluruh daerah itu diharap dapat mengerat­kan lagi hubungan rakyat di negeri ini.

“Sepanjang tiga hari program diadakan, pelbagai acara dianjurkan seperti pertandingan dam aji bagi memberikan pe­luang orang ramai mengingati permainan tradisional Melayu bagi mengisi masa lapang pada suatu masa dahulu.

“Selain itu turut diadakan per­tandingan mewarna bagi ka­nak-kanak Tadika Kemas ka­wa­san Parlimen Tanjung Pi­ai dan golongan wanita pu­la di­beri pendedahan tentang aspek-aspek kecantikan,” katanya sambil memberitahu wa­nita Bugis memang sentiasa menjaga ke­­trampilan dan kecantikan sama da semasa di rumah mahupun ketika bertemu orang ramai.