JOHOR BAHRU 29 Mac - Pusat beli-belah Toppen yang dimiliki IKEA Asia Tenggara, pemilik rangkaian IKEA di Malaysia, Singapura dan Thailand bakal dibuka kepada orang ramai pada suku ketiga tahun 2019.
Pengarah Urusannya, Christian Rojkjaer berkata, Toppen merupakan pusat beli-belah ketiga dibina IKEA Asia Tenggara di negara ini selepas IPC di Damansara dan MyTown di Cheras, Kuala Lumpur.
Tambahnya, kepesatan pertumbuhan ekonomi di Johor termasuk di Iskandar Malaysia selain kedudukannya yang strategik memberikan mereka peluang untuk membentuk kerjasama yang baik dengan peruncit di Toppen dan juga pengguna.
"Toppen merupakan sebahagian daripada pembangunan IKEA Tebrau dan bakal menawarkan pelbagai pengalaman membeli-belah selain mahu pusat beli-belah itu menjadi tempat pertemuan yang menyeronokkan kepada semua lapisan masyarakat," katanya di sini sebentar tadi.
Beliau berkata, Toppen dijangka mampu menarik 15 juta pengunjung menjelang tahun 2020. - UTUSAN ONLINE