Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani berkata, penubuhan Unit Integriti sejak empat tahun lalu merupakan salah satu langkah diambil kerajaan negeri bagi memastikan aspek integriti dalam kalangan penjawat awam terpelihara.

Beliau berkata, walaupun terdapat segelintir penjawat awam terlibat dalam isu penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, ra­suah dan penyelewengan, namun tempiasnya tetap terkena kepada keseluruhan penjawat awam di negara ini.

“Namun, adalah penting untuk diketahui bahawa tidak semua penjawat awam dalam negara ini tidak mengamalkan budaya integriti seperti yang telah ditetapkan.

“Kebanyakan penjawat awam masih mendukung prinsip integriti dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab ma­sing-masing bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada semua lapisan masyarakat dengan sedaya-upaya mereka,” katanya semasa menutup Konvensyen Integriti Negeri Johor 2017 dan Roadshow Inte­griti, di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (Integriti), Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff.

Mengulas mengenai Unit Integriti tersebut, Azmi berkata, usaha tersebut tertakluk dalam Pekeliling Perkhidmatan (Bilangan 6) 2013 yang menggariskan enam teras utama bagi memastikan penjawat awam mengamalkan budaya kerja unggul, bercirikan moral dan etika yang kukuh.

“Bagi memperkemas sis­tem pengaduan awam agar pe­nyampaian maklumat dan penyelesaian aduan dibuat se­ca­ra telus dan berakauntabiliti, kerajaan negeri dengan kerjasama Biro Pengaduan Awam (BPA) turut bersetuju menggu­nakan sistem pengurusan aduan awam.

“Sistem itu merupakan platform aduan yang berkait dengan tindakan jabatan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan serta pihak berkuasa tempatan di negeri ini,” katanya.

Aduan awam juga boleh di­salurkan menerusi laman sesawang http://johor.spab.gov.my atau dengan memuat turun aplikasi Rakyat Responz di Google Playstore dan i-store, katanya.