Pengerusi Jawatankuasa Per­-
dagangan Antarabangsa, Pelabu­ran dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse berkata, projek seluas hampir 96 hektar yang bakal siap dalam tempoh dua tahun lagi itu berpotensi untuk dibangunkan dengan konsep hijau lestari.

Katanya, projek itu berkebo­lehan menjadi peneraju utama sektor perindustrian terhadap Johor lantaran kelebihan yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.

“Tapak industri ini berhampiran dengan universiti akan memberi kelebihan kepada pemilik yang merebut peluang ini sebab tempat lain tiada kemudahan ini.

“Ini memudahkan usahasama kedua-dua pihak sekiranya pemilik kilang mahu mendapatkan khidmat kepakaran ataupun tenaga kerja daripada graduan universiti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas melawat Tapak Perindustrian Sime Darby, Pagoh di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Muar, Mohd. Haffiz Ahmad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Mustaffa Kamal Samsudin dan Pengurus Pembangunan Sime Darby Pro­perties Sdn. Bhd., Zaini Md. Lazan.

Wee Tse berkata, selain itu, kedudukan Bandar Universiti Pagoh yang terletak kira-kira 25 kilometer dari Muar dan dua ki­lometer dari susur keluar Lebuh Raya Utara-Selatan serta Plaza Tol Pagoh turut memberi kele­bihan dalam menjadi pemang­kin bagi membawa perubahan positif terhadap sosioekonomi setempat khususnya di Pagoh dan Panchor.

“Pelaksanaan projek ini juga diyakini berpotensi merancak­kan agenda kerajaan negeri da­lam misi untuk memberi tumpuan kepada pelaburan berdasarkan 3H iaitu high-techno­logy, high-value dan halal industry menjelang 2019,” katanya.