Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara pertama yang digariskan ialah memastikan ekonomi negeri ini terus tumbuh dan berkembang setiap tahun.

“Perkara kedua adalah memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua rakyat secara saksama tanpa ada kawasan yang tercicir daripada menikmati pembangunan.

“Seterusnya perkara ketiga yang akan diberi perhatian adalah memastikan apa juga pembangunan yang dibuat mampu memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Jamuan Muafakat Sekijang di Dewan Serbaguna Segamat di sini semasa melakukan lawatan kerja ke Parlimen Sekijang hari ini.

Yang turut hadir ialah Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap, Pegawai Daerah Segamat, Mohd. Hafiz Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah Datuk Ayub Rahmat, ADUN Pemanis, Lau Chin Hoon, ADUN Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan ADUN Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim.

Katanya, usaha kerajaan membongkar dan membangunkan potensi di negeri ini untuk menjadikannya sebagai kuasa ekonomi selatan yang dapat menyumbang kepada kemajuan negara tidak mungkin berjaya tanpa penyertaan rakyat.

Menurutnya, rakyat nege­ri ini harus berani mengambil tanggungjawab bersama-sama kerajaan menggembleng tenaga membangunkan potensi yang ada kerana tanpa penyertaan rakyat usaha tersebut tidak akan berjaya.

Ujarnya lagi, setiap individu di negeri ini harus memainkan pe­ranan masing-masing dan berge­rak sebagai satu pasukan dalam konsep Team Johor jika mahu melihat Johor mampu bersaing dengan negeri lain.

“Rakyat negeri ini harus bersedia untuk menambah ilmu dan kemahiran selain berusaha membanggunkan potensi diri kerana kita perlu berdepan dengan pelbagai cabaran dan bersaing de­ngan negeri lain.

“Tanpa ilmu serta kemahiran yang mencukupi tidak mungkin kita mampu berdepan dengan cabaran dan bersaing, jika kita tidak mampu bersaing kita akan gagal dan tertinggal,” katanya.