Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Wahid Omar berkata, universiti awam itu mula menjana pendapatan sendiri dan penuntut juga menguruskan sendiri aset-aset UTM selain menggabungkan 18 fakulti menjadi tujuh.

“Begitu juga dengan penubuhan Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTMSpace) yang boleh diberikan perhatian. Ini adalah sebuah institusi pendidikan sepanjang hayat dalam bidang kejuruteraan, sains dan pengurusan di peringkat ijazah sarjana muda.

“UTMSpace merupakan satu transformasi pendidikan. Kita akan dan sedang melebarkan sayap ke Kurdistan, Iraq selàin Maldives dan Sri Lanka,” katanya pada majlis Malam Mesra Media 2018 UTM dan UTMSpace di Hotel Puteri Pacific, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UTMSpace, Prof. Dr. Ir. Mohd. Azraai Kassim dan Timbalan Presiden I, Kelab Media Johor (KMJ), Raja Jaafar Raja Ali.

Seramai 10 wartawan dan jurugambar diumumkan sebagai pemenang anugerah yang dipertandingkan dan masing-masing membawa pulai hadiah wang tunai RM500.

Raja Jaafar yang juga jurufoto Utusan Malaysia Biro Johor turut memenangi Anugerah Foto Terbaik (Media Cetak Bahasa Me­layu).

Wahid berkata, UTM amat menghargai peranan pengamal media, khususnya di negeri ini atas bantuan dan kerjasama dalam meningkatkan nama baik serta jenama universiti awam itu menerusi pelbagai berita dan rencana dalam media cetak mahupun elektronik.

“Pengamal media banyak memberi bantuan dan sokongan yang padu kepada UTM dalam meningkatkan reputasi dan nama baik di Malaysia terutama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan sumbangan kepada masyarakat.

“Malah, kita dapat lihat banyak berita kejayaan UTM disiarkan dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini menerusi media massa dan kami amat-amat menghargainya,” katanya sambil meminta media turut membantu usaha UTM menarik lebih ramai penuntut, khususnya dalam kalangan bukan Melayu ke universiti berkenaan.