Kamariah Semail, 66, menguruskan seorang diri segala keperluan anaknya, Nurul Aqidah, 27, yang ditempatkan di dalam bilik khas yang dibina oleh arwah suaminya, Munir Rosdi atas faktor keselamatan.

“Ketika berumur beberapa bulan, dia diserang sawan dan doktor mengesahkan penyakit tersebut menjejaskan perkembangan mentalnya dan sebagai seorang ibu, saya berasa amat sedih de­ngan nasib malang yang menimpanya.

“Sejak kecil hingga umur­nya­ 13 tahun, setiap bulan kami membawanya berjumpa doktor di hospital untuk menjalani pemeriksaan serta mendapatkan rawatan termasuk suntikan dan ubat-ubatan,” katanya ketika menerima kunjungan Persatuan Doktor-doktor Negeri Johor semasa Kem Nak Sihat di tanah rancangan berkenaan, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat dan Pengerusi Persatuan Doktor-doktor Negeri Johor, Dr. Ng Kim Fong.

Kamariah memberitahu, sewaktu kecil Nurul Aqidah sering bercakap seorang diri selain suka mengganggu dan mengambil barangan kepunyaan orang lain di sekelilingnya sehingga menimbulkan kemarahan rakan-rakan.

“Sewaktu rumah ini belum diubah suai, arwah suami hanya mengikat Nurul pada tiang rumah dan walaupun sedih saya tidak ada pilihan kerana kalau tidak diikat, dia akan mengganggu orang lain.

“Apabila dikurung di dalam bilik yang ada sekarang ini, dia hanya meracau, namun kadang-kadang akan menghantuk kepalanya di dinding sehingga bengkak dan berdarah,” katanya sambil memberitahu suaminya meninggal dunia Mei tahun lalu.

Dia yang bergantung dengan wang sara hidup Felda arwah suaminya sebanyak RM400 sebulan tetap bimbang dengan nasib anak tunggalnya itu kerana tidak mampu menguruskan diri.

“Pernah beberapa kali Nurul memukul saya dan kejadian terbaru dia bertindak menolak saya sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan,” katanya.