Pengarahnya, Yusoff Harun berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 331 aduan adalah daripada pekerja tempatan atau 96.5 peratus, manakala 12 aduan oleh pekerja asing, iaitu 3.5 peratus.

Beliau berkata, antara aduan tersebut berkaitan kelewatan majikan membuat pembayaran gaji seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 19, Akta Kerja 1955.

“Aduan lain termasuk kegagalan majikan memberikan cuti am dan pekerja tidak menerima bayaran gaji bekerja pada cuti am, kedua-duanya di bawah Seksyen 60D akta sama.

“JTK turut menerima aduan berkaitan pekerja tidak menerima kontrak perkhidmatan serta penyata gaji, kedua-duanya di bawah Peraturan 8, Peraturan-peraturan Kerja 1957,” kata­nya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Yusoff memberitahu, sepanjang tempoh sama, sebanyak 150 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan dan pelanggaran dengan kes tersebut telah dibawa ke peringkat perundangan.

Justeru, beliau menasihati golongan majikan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, manakala pekerja mengetahui hak-hak mereka.

Pihaknya turut mengadakan program Mobil Labour Care (Molac) di lima daerah di negeri ini bulan lalu bagi membolehkan orang ramai, terutama­nya pekerja mendapatkan pelbagai khidmat nasihat dan mengemukakan aduan serta sambutan yang diterima amat menggalakkan.