Apatah lagi ada yang meng­anggap lokasi seperti itu hanya dikunjungi golongan penyelidik atau rombongan yang berkaitan dengan aktiviti pertanian.

Namun, bagi yang belum pernah menjejakkan kaki ke Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha, persepsi itu mungkin boleh ber­ubah sekelip mata kerana kawasan seluas 1,295 hektar ini berbeza dengan ladang lain.

Sebanyak 6,000 spesies herba dan rempah ratus dari seluruh dunia bukan angka sedikit, malah itulah realitinya jumlah pokok berkhasiat yang terdapat di ladang berkenaan di Kilometer 19, Jalan Muar-Pagoh di sini sehingga meletakkan kedudukannya sebagai ladang herba terbesar di Asia Tenggara.

Daripada jumlah itu, kira-kira 43 peratus adalah tanaman dari luar negara ter­utama Eropah, Afrika dan Asia yang sesuai dengan iklim-iklim ter­tentu tetapi di Ladang Nasuha semuanya subur belaka.

Tiba di pekarangan ladang ber­kenaan yang hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari Plaza Tol Pagoh, pengunjung pastinya akan terpukau dengan seni bina dan dekorasi dalaman Restoran Herba yang merupakan antara tarikan utama di ladang itu.

Mengadaptasi suasana hutan Khatulistiwa, kerusi dan mejanya diperbuat daripada kayu balak asli dan kemudian dicat menggunakan warna coklat terang, selain lantainya berfungsi untuk membuat urutan refleksologi.

Restoran itu pula menyediakan pelbagai hidangan berasaskan herba dan rempah ratus asli de­ngan menu istimewa di sini ialah beriani herba ayam, daging dan kambing, asam pedas kam­bing Barbados, sup herba serta teh de­ngan pelbagai pilihan herba.

Bukan hanya terhad dengan melihat tanaman herba dan menjamu selera semata-mata, Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha juga menawarkan pelbagai kemudahan lain, antaranya Spa Herba yang menyediakan khidmat urutan badan, sauna dan mandi bu­nga untuk memanjakan diri.

Menurut pengusahanya, Na­suha Kasian yang juga pemilik Budayatama Corporation Sdn. Bhd., syarikat yang mengeluarkan produk berasaskan herba, ladang berkenaan merupakan lokasi terbaik untuk aktiviti harian ke­luarga atau secara ber­kumpulan de­ngan senarai pakej istimewa.

“Selain menikmati hidangan di restoran, pengisian pakej turut menyenaraikan aktiviti kembara ladang herba di samping tawaran bermalam di tempat penginapan dan melakukan pelbagai aktiviti outdoor di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nasuha, 67, berkata, pengunjung boleh memilih sama ada mahu mencuba penginapan jenis log kabin atau calet dengan bayaran serendah RM198 semalam bagi empat orang dewasa.

Katanya, log kabin yang diperbuat daripada kayu beraroma terapi terletak di lereng bukit dan dikelilingi pokok herba dan pengunjung berpeluang menikmati udara sejuk daripada tiupan angin gunung serta aroma beratus-ratus pokok eucalyptus.

“Ladang Rempah Ratus dan Herba Nasuha sebenarnya adalah destinasi pelancongan yang wajib dikunjungi kerana menyimpan pelbagai khazanah herba dan rempah ratus yang terdapat di seluruh dunia.

“Saya berharap pihak berkaitan meneruskan usaha mengangkat tempat menarik untuk dilawati orang ramai apatah lagi keistimewaan industri perubatan tradi­­sio­nal seperti ini yang memberi ba­nyak khasiat dan faedah kepada bidang kesihatan alternatif,” katanya.