Biarpun waktu perniagaan lapan buah gerai termasuk beberapa agensi kerajaan hanya bermula kira-kira setengah jam kemudian, rata-rata penduduk Parit Sulong dan sekitar tidak mahu melepaskan peluang mendapatkan pelbagai keperluan harian pada harga jauh lebih murah.

Bertujuan membantu meri­ngankan beban masyarakat, Jualan Sentuhan Rakyat itu sebagai contohnya menawarkan jualan tiga ekor ayam pada harga RM16 oleh Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) selain harga ikan lebih murah dijual Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Malah, lebih menarik Pusat Khidmat Parlimen Parit Sulong melaksanakan program jualan itu dengan kaedah tersendiri apa­bila menawarkan kupon ber­nilai RM100 kepada 50 pene­rima terpilih.

Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, pene­rima kupon terbabit perlu berbe­lanja dalam program Jualan Sentuhan Rakyat berkenaan yang bertujuan membantu menangani kos harian mereka.

Menurutnya, biarpun kali per­tama diadakan, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk yang mahu membeli barangan keperluan pada harga 20 hingga 50 peratus lebih murah berbanding di pasaran.

“Tidak sampai beberapa jam, ada gerai jualan sudah tinggal beberapa stok jualan sahaja lagi dan ada juga yang mengambil ini­siatif menambah bekalan kerana waktu perniagaan masih lama iaitu sehingga pukul 11 pagi,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Noraini berkata, antara barangan yang paling laku ialah ayam, ikan, beras, sayur dan minyak yang menyaksikan gerai jualan tersebut diserbu orang ramai sejak pukul 8 pagi sehingga bekalannya habis licin.

Kata beliau, selain PPNJ dan LKIM, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut membuka tiga gerai jualan di situ dengan menjual pelbagai sayuran, buah-buahan serta dua syarikat perniagaan yang popular dalam kalangan masyarakat setempat.

“Kami juga membawakan Sya­rikat Faiza yang menjual beras pada harga RM4 lebih murah bagi beras 10 kilogram (kg) dari harga pasaran dan beras berkuantiti 5kg dengan poto­ngan harga RM2, selain Pasaraya Fresh Hub yang menjual pelbagai barangan runcit.

“Sementara LKIM pula menawarkan tiga jenis ikan seperti cencaru, selayang dan kembung yang segar pada harga murah berbanding di pasar atau tempat-tempat lain,” katanya.

Ujar Noraini, terdapat lima lagi Jualan Sentuhan Rakyat akan dilakukan dalam kawasan parlimen itu pada setiap bulan di lokasi-lokasi berbeza yang akan ditetapkan kelak.

Dalam pada itu, kata beliau, pihaknya turut menyediakan program sampingan seperti pertandingan mewarna kepada kanak-kanak, memasak dan aktiviti senamrobik bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Apa yang lebih menarik dalam program itu, orang ramai juga berpeluang berbelanja seper­ti biasa di Pasar Tani Wani­ta yang beroperasi pada setiap Jumaat di lokasi bersebelahan,” katanya.