JOHOR BAHRU 31 Okt. - Kurangnya pembabitan usahawan bumiputera dalam penerbitan dan percetakan tidak menghalang Norja’e Amin, 59, untuk menceburi bidang tersebut.
Bak kata perpatah, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.
Dengan tekad mencabar diri untuk berjaya, lelaki cekal ini tidak lagi menoleh ke belakang apabila nekad untuk menceburi perniagaan tersebut selepas membuat keputusan bersara awal daripada sebuah agensi kerajaan.
Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Norja’e bertuah apabila dipertemukan dengan seorang peniaga Cina yang sanggup menjadi rakan kongsinya untuk menubuhkan Affa Trend Publication pada 2005.
“Menyedari peluang yang luas, saya nekad menjalin kerjasama dan berkongsi modal dengan seorang sahabat berketurunan Cina untuk mengusahakan bidang penerbitan dan percetakan.
“Mula-mula saya keluarkan modal kira-kira RM200,000 untuk membeli peralatan dan bahan-bahan asas. Para pelanggan ketika itu terdiri daripada kenalan pelbagai kategori,” katanya semasa ditemui Utusan Malaysia di Kampung Melayu Majidee di sini baru baru ini.
Ayah kepada seorang anak ini mengakui bermula dengan tiga mesin, mereka mampu mencetak pelbagai bahan termasuk dokumen, risalah, kad jemputan, kotak, beg kertas, kain rentang, gegantung dan pelekat untuk produk industri kecil dan sederhana (IKS).
Menurutnya, perniagaan tersebut semakin meningkat dan memberangsangkan kerana mendapat tempahan daripada pihak kerajaan, swasta dan individu.
“Banyak tempahan yang diperoleh sehingga tidak menang tangan, malah kami terpaksa agih-agihkan kepada usahawan kecil yang terdiri daripada rakan-rakan yang baru berjinak-jinak dalam bidang ini.
“Namun, apabila kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST), perniagaan mula menerima kesan, tetapi kini semakin menunjukkan peningkatan semula,” katanya yang kini dibantu oleh lapan pekerja.
Mengenai persaingan, beliau yang dibantu oleh anaknya, Farah Syahidah, 25, mengakui setiap masalah dan persaingan perlu ditangani dengan bijaksana serta profesional.