Terletak di pinggir bandar raya ini, Tebrau kini berkembang pesat sebagai destinasi beli-belah terkemuka, perniagaan komersial, perindustrian, perkhidmatan dan perumahan.

Kawasan ini yang merupakan sebahagian daripada wilayah Is­kandar Malaysia turut mene­rima tempias pembangunan pe­sat koridor ekonomi yangberkembang pesat di selatan tanah air.

Bagi mengimbangi pembangunan pesat projek hartanah dan perumahan bernilai tinggi di pusat bandar, kerajaan Pusat dan negeri turut mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memastikan semua golongan rakyat turut mendapat manfaatnya.

Bukan sekadar omongan kosong, kerajaan membuktikannya menerusi pelbagai inisiatif, antaranya pembangunan program Perumahan Rakyat Johor (PRJ) di kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini, terma­suk dalam Parlimen Tebrau.

Berdasarkan laporan Task Force Perumahan Rakyat Johor, Parlimen Tebrau bakal mencatat­kan antara kawasan tertinggi dibangunkan dengan projek PRJ menjelang tahun 2020.

Menurut Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Tiram, Datuk Maulizan Bujang, sebanyak 17 projek pembangunan PRJ yang merangkumi 11,311 unit kediaman telah, sedang dan akan dibina di Parlimen Tebrau bermula pada 2014 hingga 2020.

Katanya, projek tersebut me­li­batkan Perumahan Komuniti J­ohor (PKJ) A yang berharga RM42,000, PKJ B (RM80,000) dan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) bernilai RM150,000.

“Usaha yang dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) ini bagi memastikan keperluan golongan pertengahan dan bawah untuk memiliki rumah di dalam kawa­san bandar dan pinggir bandar dapat dipenuhi.

“Ini penting bagi memastikan golongan tersebut termasuk penduduk di kawasan Tebrau ini tidak terpinggir daripada pembangunan pesat yang sedang berlaku di Wilayah Iskandar Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Maulizan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tebrau berkata, selain PRJ, kerajaan negeri turut memberi perhatian serius terhadap penempatan semula se­tinggan dengan memberikan hak milik tanah dan penyediaan Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Setinggan tinggal sedikit sahaja lagi, antara 200 hingga 300 penduduk kerana kebanyakan mereka telah diberi hak milik ta­nah oleh kerajaan dengan terkini menerusi pengurniaan hak milik tanah kepada 160 penduduk di Kampung Sentosa.

“Walau bagaimanapun, terdapat juga yang tidak dapat diberikan hak milik tanah kerana beberapa masalah, seperti rumah terletak di rizab sungai. Oleh itu, kerajaan telah menyediakan PPR seperti 700 unit PPR di Sungai Tiram,” katanya.

Ditanya projek terbaharu yang akan dibangunkan di kawasan Tebrau, Maulizan memberitahu, Klinik Kesihatan Tiram yang baharu menelan kos kira-kira RM30 juta sedang dibina di Bandar Tiram dan dijangka siap pada 2020.

Selain itu, tiga lagi sekolah agama baharu akan dibina di Taman Desa Mutiara, Taman Cahaya Masai dan Kampung Kong-Kong Laut selain pembinaan Dewan Muafakat Johor di Kampung Pasir Putih, Taman Tanjung Puteri Resort, Taman Setia Indah, Kampung Cahaya Baru dan Jalan Ciku, Kota Masai.