Namun kini, Hadi Ahmad Sani, 40, boleh menarik nafas lega dan tidak perlu lagi menjual durian dengan cara itu kerana pelanggan kini sudah datang sendiri ke kebunnya.

Semuanya bermula apabila dusunnya yang seluas kira-kira 3 hektar di Kampung Air Putih, Kampung Sawah, pekan Nanas, dekat sini dijadikan satu pakej pelancongan di daerah ini.

Dusunnya yang berkonsepkan agro pelancongan dikenali sebagai Dusun Durian Landak memboleh­kan penggemar durian dan buah-buahan tempatan merasai pengalaman melihat pokok buah-buahan sambil memetik buah-buahan serta menikmatinya.

Dusun Durian Landak itu kata Hadi, dinamakan kerana satu masa dahulu terdapat banyak landak yang jinak dan mudah didekati. Bersempena itu kebun buah-buahannya dinamakan demikian.

Kelainan dusun itu yang terletak kira-kira 1 kilometer dari kaki Gunung Pulai memberi peluang kepada pelancong untuk mengutip durian yang baru gugur sambil makan di situ.

Hadi berkata, selain menikmati pelbagai jenis durian dan buah-buahan kampung itu secara segar, pelancong ju­ga dapat melihat suasana keindahan alam semula jadi.

Menurutnya, ini akan memberikan keadaan yang unik serta istimewa berbeza dengan membeli buah-buahan dan makan di kedai atau tepi jalan.

“Di dusun ini terdapat kira-kira 15 jenis pokok buah-buahan termasuk durian, rambutan, langsat, cempedak, pulasan, manggis, nangka, avokado dan banyak lagi. terdapat juga tanaman kontan antaranya pisang, terung, cili api, serai, limau kasturi dan ubi kayu.

“Menariknya di dusun ini terdapat 10 jenis durian kampung. Satu daripadanya durian tembaga dengan pokoknya berusia kira-kira 120 tahun. Pokok itu baru-baru ini menghasilkan lebih 300 biji durian yang mana buahnya menjadi idaman peminat raja buah tersebut.

“Ada juga durian jenis udang merah, kacapuri, pulut, kuku helang dan jantung. Ini adalah antara keunikan dusun yang diwarisi dari arwah nenek, Safiah Latif,” katanya ketika ditemui Jejak Jaya di dusunnya baru-baru ini.

Katanya, satu keunikan durian yang terdapat di sekitar Kampung Sawah hingga menjadi 'lembah durian' termasyhur di negeri ini kerana berkedudukan di kaki Gunung Pulai dan berikutan itu pohon-pohonnya men­dapat bekalan air yang mencukupi.

Menambah lagi keistimewaan ujarnya, terdapat aliran air dari Gunung Pulai yang sudah pasti memberikan ketenangan di dusun itu. Pelancong dapat menikmati suasana kehidupan kampung dengan memberi makan kepada ayam.

Hadi yang menjadi pemegang amanah untuk menguruskan dusun berkenaan mengambil masa kira-kira empat tahun untuk mengurus dan menyelenggarakannya.

“Usaha yang saya lakukan berbaloi apabila pada Jun tahun lalu, pokok-pokok yang ada di dusun ini terutamanya durian menghasilkan buah yang lebat,” katanya.

Susulan itu, Hadi membuka dusunnya kepada pengunjung dengan kaedah promosi menerusi Facebook. Sambutan diterima amat menggalakkan khususnya pelancong Singapura dan juga serata negara antaranya dari Kuala Lumpur dan Melaka termasuk negeri ini.

“Berkat kegigihan dibantu lima pekerja, pada musim ini sahaja, durian saya berbuah tiga kali pada Jun dan Disember tahun lalu dan akan datang pada Mac ini. Untuk menampung permintaan durian saya terpaksa memajak durian milik pekebun lain.

“Saya percaya kepada konsep, kita jaga dan belai pokok tak lupa juga amalan bersedekah ia

akan memberi pulangan sebaiknya kepada kita. Dengan pegangan itulah saya dapat menikmati rezeki hasil daripada durian yang melimpah ruah,” katanya.

Dia bertuah kerana usahanya mendapat sokongan keluarga terutama isteri, Norhasana Hassan, 34, yang merupakan seorang guru.

Menceritakan pengalamannya membawa pelancong ke dusunnya, Hadi berkata, pada pering­kat awal, mereka dibawa ke dusun dengan menaiki pa­cuan empat roda ekoran kea­daan jalan sempit.

Menyedari kepayahan itu Hadi mengambil keputusan mengeluarkan modal kira-kira RM80,000 bagi membina jalan masuk yang lebih selesa sejauh 800 meter untuk terus sampai ke dusun.