Peraih ikan juga sibuk memilih ikan segar. Kelihatan bot-bot nelayan berbaris baru sahaja pulang selepas ‘membelah’ lautan dan memperjudikan nasib di samu­dera, menyebabkan suasana ke­coh dan hingar-bingar untuk se­ketika mewarnai keadaan di jeti ikan tersebut.

Itu senario biasa dan rutin harian di Jeti Nelayan Pangkalan Parit Penghulu Serkat, Tanjung Piai, dekat sini pada setiap awal pagi hingga tengah hari.

“Jeti Nelayan Pangkalan Parit Penghulu Serkat bukan setakat sebuah jeti tetapi lebih daripada itu,” ujar Penghulu Mukim Serkat, Roslan Bokari, 48, kepada Utusan Malaysia, sekali gus mematikan dan mengalihkan pandangan dari jeti nelayan itu.

Dahulunya, jeti nelayan dan mukim itu hanya dikenali dalam kalangan kaki pancing, namun sejak Taman Negara Tanjung Piai dibuka pada 2002, Serkat popular sebagai destinasi agro pelanco­ngan.

“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan di jeti nelayan itu seperti akti­viti memancing, menangkap udang, bubu tradisional, kelong memancing, aktiviti sukan air, permainan jong tradisional dan mengelilingi perairan Tanjung Piai.

“Istimewanya perairan Serkat merupakan lubuk ikan seperti jenahak, pari, ikan tebal pipi dan ikan merah selain banyak udang dan ketam. Bukan itu sahaja, pe­ngunjung akan dapat menikmati pemandangan yang indah dan cantik,” katanya sambil memberi­tahu banyak inap desa, desa stay, chalet atau resort di mukim berke­naan yang menyediakan perkhidmatan kepada pengunjung termasuk untuk aktiviti memancing hanya dikenakan bayaran RM350 untuk empat orang.

Selain itu, tarikan lain di Serkat sudah tentunya Taman Negara Tanjung Piai dan pengunjung boleh melihat, antaranya hutan paya bakau, titik paling Selatan tanah besar di benua Asia, peti pos paling Selatan di tanah besar benua Asia.

Begitu juga mereka boleh melihat kerangan seperti siput sedut, berongan, belangkas, monyet dan hidupan bakau selain mengunjungi pusat ternakan madu lebah, pembuatan jong tradisional, otak-otak, dodol serta permainan gasing.

Termasuk juga perusahaan industri kecil dan sederhana (IKS) seperti perusahaan keropok lekor An Nur Food Industri milik Ghazaley Ayiub di kampung Serkat, iaitu salah seorang uahawan bumiputera yang berjaya.

Jeti Nelayan Sungai Durian dalam mukim itu juga sedia me­ngajak pengunjung untuk melihat sendiri ternakan siput sedut sebelum merasai makanan laut tersebut selepas itu.

Rumah tradisional Bugis juga merupakan satu lagi tarikan untuk mereka yang berminat bermalam di situ dan pelancong akan didedahkan dengan Memorial Daeng Haddadek, tarian, pakaian, makanan dan sejarah masyarakat Bugis di Johor.

Apabila menjengah ke mukim bersebelahan iaitu Air Masin yang hanya kira-kira 15 minit dari Serkat, sudah tentunya satu lagi ikon utama pelancongan di daerah ini iaitu Taman Negara Pulau Kukup menjadi destinasi wajib pergi.

Selain ke Pulau Kukup, pe­ngunjung tidak harus melepas­kan peluang untuk melawat Kampung Air Masin, iaitu perkampungan atas air yang moden dan menempatkan 215 buah rumah selain 35 resort.

Pengunjung boleh menyewa basikal atau motosikal mengikut jam atau hari untuk melihat sendiri keunikan kampung berke­naan yang sudah berusia 160 tahun.

Menurut Penghulu Mukim Air Masin, Faiz Fuad, selain taman negara tersebut, Masjid Penerok juga menjadi lokasi singgahan rombongan dari Singapura ter­utama pada setiap tiga bulan.

“Ini kerana reka bentuk Masjid Penerok yang klasik dan unik, tidak mengalami banyak perubahan sejak didirikan sebelum merdeka. Selain itu, pelbagai aktiviti termasuk persembahan dilakukan di masjid ini,” katanya.

Sementara di Mukim Ayer Baloi, merupakan kawasan perta­nian dan perikanan penting selain menjadi pengeluar lada hitam dan kerang terbesar di negeri ini dan mengikut kajian, perairan di kawasan itu merupakan paling sesuai untuk ternakan kerang.

Jelas Penghulu Mukim Ayer Baloi, Mohd. Faidzullah Yusof: “Apabila datang ke Ayer Baloi, pelancong boleh merasai sendiri pengalaman menceduk kerang. Kerang Ayer Baloi merupakan paling sedap dan selamat dimakan kerana melalui program ‘Molluscure’, iaitu teknologi moden membersihkan kerang .”