Hanya sebatang joran, umpan dan sedikit kesabaran, rezeki kaki pancing tidak akan ke mana tatkala joran mereka 'diragut' ikan, lebih-lebih lagi setelah seharian penat bekerja.

Malah, siapa sangka di sebalik jalan tanah merah sejauh tiga kilometer melalui kebun bunga, kawasan perindustrian serta menempuh hutan, terdapat sebuah lombong yang cukup indah menjadi lubuk rezeki kaki pancing.

Terletak di hujung Kampung Parit Muhammad di Bakri dekat sini, lombong terbiar itu sememangnya cukup terkenal bagi pemancing yang datang dari serata daerah tetapi disebabkan kedudukannya yang jauh dari jalan utama, kewujudannya masih tidak disedari oleh orang ramai pihak termasuk sebahagian penduduk di situ.

Namun, lombong seluas hampir empat hektar yang tidak dijaga itu amat indah berbanding lombong-lombong lain yang terdapat di sekitar kawasan tersebut kerana pemandangannya yang cantik dan sentiasa kedengaran kicauan unggas selain turut kelihatan bukit-bukau.

Hamdani Tumir, 48, yang merupakan anak jati kampung tersebut mengakui telah mengetahui kewujudan lombong berkenaan sejak kecil lagi.

“Saya sudah tahu tempat ini sejak zaman kanan-kanak. Biasalah budak kampung memang suka memancing dan lombong ini suatu masa dahulu menjadi mata pencarian rezeki kami termasuk penduduk di sini.

“Jenis ikan pula memang banyak dan saiznya besar-besar seperi toman, patin, tilapia, jelawat, tongsan, rohu, liku, lampam dan banyak lagi. Justeru, golongan pemancing menganggap tempat ini sebagai sebahagian mata pencarian mereka kerana jumlah ikan yang dibawa balik pasti banyak," katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Berdasarkan sejarah, bekas lombong bijih timah berkenaan didakwa telah muncul sejak zaman perang Jepun.

Selepas ditinggalkan, kawasan lombong tersebut dipenuhi ikan air tawar, sekali gus menjadi kawasan riadah bagi kaki pancing.