Namun, bagi mereka yang belum berkesempatan untuk bercuti kerana kekangan masa, masih belum terlambat untuk membawa anak-anak bercuti khususnya bagi menikmati suasana pantai.

Bagi merasai pengalaman itu, anda juga tidak perlu pergi terlalu jauh kerana Tanjung Balau di sini menawarkan pengalaman menarik buat pengunjung sekeluarga.

Perjalanan menaiki kereta secara santai contohnya dari Johor Bahru mengambil masa tidak sampai satu jam menjadikan Tanjung Balau antara destinasi pilihan yang boleh dikunjungi.

Kepada pengunjung yang mahu merasai sausana damai dengan bermalam di sana, terdapat dua pilihan iaitu dengan menginap di hotel atau chalet menawarkan harga berpatutan.

Jika menginap di hotel, pelbagai aktiviti boleh diadakan bersama-sama keluarga antaranya mandi di kolam renang mahupun bermain di taman permainan yang dikhususkan untuk pelanggan.

Bagi mereka yang tidak menginap di hotel, mereka tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan malah sebahagian daripadanya adalah percuma.

Antara aktiviti utama sudah pastinya mandi di laut dan bermain di pantai tetapi pengunjung dingatkan untuk mematuhi peraturan ditetapkan demi kese­lamatan mereka sekeluarga.

Walaupun tidak mahu mandi di kawasan pantai, aktiviti lain yang boleh dilakukan seperti bermain bola tampar pantai ataupun bermain layang-layang kerana kawasan itu mendapat tiupan angin yang sesuai untuk permainan tersebut.

Bagi yang mahukan aktiviti lebih ekstrem pula, mereka boleh menyewa kenderaan lasak iaitu All Terrain Vehicle (ATV) yang disediakan khusus untuk pengunjung Tanjung Balau. Selain itu, mereka juga boleh mela­kukan aktiviti meredah hutan.

Kepada pengunjung yang membawa bekalan makanan sendiri, mereka boleh berpiknik dengan memilih lokasi bersesuaian namun bagi yang mahu menikmati masakan tempatan terdapat beberapa gerai yang boleh dikunjungi.

Tanjung Balau turut menempatkan sebuah Muzium Nelayan yang dibuka kepada umum pada 1993. Muzium itu terbahagi kepada beberapa bahagian yang memaparkan galeri nelayan, model perahu, peralatan menangkap ikan dan pelbagai lagi.

Kepada mereka yang gemar untuk merakam gambar kenangan atau untuk mengabadikan memori dalam laman sosial terdapat pelbagai tempat yang menarik untuk pengunjung berbuat demikian.

Pastinya banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan di Tanjung Balau. Namun untuk mengetahui lebih lanjut anda perlu meluangkan masa dengan berkunjung sendiri ke sini.