Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama dalam usaha memperbaiki masyarakat dan negara.

“Penulis mempunyai tugas dan tanggungjawab bukan sahaja kepada diri dan minat semata-mata, malah juga tanggungjawab dan peranan kepada para pembaca dan masyarakat.

“Peranan serta tanggungjawab ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan dan diambil mudah, sebaliknya sudah tiba masanya untuk kita memandangnya dalam konteks yang lebih besar dan bermakna,” katanya dalam majlis Sambutan Jubli Emas, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Malam 50 Tahun PPJ di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Ketua 1 PPJ, Amiruddin Md. Ali Hanafiah dan Ketua 1 Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Menteri Besar berkata, golo­ngan pe­nulis juga perlu menggunakan kele­bihan yang ada untuk membantu kerajaan ne­geri mendekati dan menyantuni masyarakat menerusi penulisan kreatif, bermaklumat, merangsang pemikiran, bermoral dan bertanggungjawab.