Menteri Perdagangan Antara­bangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pe­laburan itu melibatkan beberapa sektor utama seperti elektrik dan elektronik, makanan dan minuman serta tekstil.

Beliau berkata, syarikat berke­naan adalah pemain industri yang telah terlibat dalam pelbagai projek pembangunan di nege­ri ini sejak beberapa tahun lalu.

“Berdasarkan pertemuan de­ngan pemain industri sedia ada, dijangka pertambahan pelaburan sehingga melebihi RM1 bilion da­lam tempoh satu hingga dua tahun.

“Pelaburan terbesar adalah da­ripada syarikat berkaitan tekstil, iaitu D&Y Malaysia Sdn. Bhd.,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan 12 buah syarikat yang beroperasi di kawasan ini sempena program turun padang ke Forest City, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim.

Sementara itu, Mustapa turut memberitahu, kemudahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dihasilkan Country Garden Paci­fic View bakal menjadi kilang IBS terbesar dunia apabila berope­rasi sepenuhnya bulan depan.

“Ketika ini, hanya tiga barisan pengeluaran beroperasi namun apabila siap kelak, kilang itu akan mengoperasikan sebanyak 12 barisan pengeluaran.

“Kemudahan tersebut bakal dibangunkan dengan pelaburan seba­nyak RM2.6 bilion apabila membawa masuk teknologi khususnya dari Jerman, Itali dan China,” katanya.