Usaha merealisasikan taman tema di da­lam bangunan pusat be­li-belah terkemuka, Komtar Johor Bahru City Centre (JBCC) itu adalah hasil kerjasama antara anak syarikat Johor Corporation (JCorp) iaitu Damansara Assets Sdn. Bhd. dan syarikat pengasas permainan Angry Birds, Rovio Entertainment Ltd.

Taman Tema Angry Birds yang pertama di Asia Tenggara itu mempunyai berkeluasan sebanyak 2,415 meter persegi dengan dilengkapi 24 permainan yang sesuai untuk kanak-kanak dan golongan dewasa.

Bercerita perihal Angry Birds, ia bukanlah satu bualan asing, malah menyebutnya minda pasti akan terbayang karakter burung pelbagai warna dalam permainan animasi yang popular menerusi tablet atau telefon pintar.

Permainan itu pernah menjadi trend apabila ia diperkenalkan pada tahun 2009 malah sehingga kini mempunyai pengikut yang tersendiri.

Bagi Pengurus Besar taman tema ber­kenaan, Tony Lika, keterujaan yang ditunjukkan pe­ngun­jung yang rata-rata hadir bersama ibu bapa dan ahli keluarga yang lain merupakan satu per­kara yang dinantikan.

“Melihat mereka tersenyum dan bermain ke sana ke mari adalah satu perkara yang sangat membahagiakan apatah lagi ia sesuai dengan objektif pembukaan taman iaitu ingin menampilkan konsep kekeluargaan.

“Begitu juga adunan permainan yang disediakan, semua pengunjung boleh main baik kanak-kanak mahupun dewasa,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Menurut Lika, taman tema itu mempunyai empat segmen dengan pilihan permainan yang pelbagai yang rata-ratanya dibuat dengan tujuan mendidik dan membina karakter kanak-kanak selain berseronok.

Ujarnya, beberapa permainan yang menguji aktiviti fizikal juga disediakan bagi menjadikan taman ini sebagai satu tempat riadah untuk seisi keluarga.

Kata beliau, taman aktiviti itu terbahagi kepada dua ruang bahagian utama iaitu Classic dan Space, dipenuhi 24 permainan yang setiap satunya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Antara yang menjadi tumpu­an pengunjung ialah Angry Birds Go! Kart Track, Bird Nest Climbing Track, Lazer Maze Space Ship, Space Soccer Cage, Space Drop Airbag dan Balance Bike Lagoon.

Bagi permainan Lazer Maze Space Ship, ia menguji kreativiti dan kelicikan orang ramai untuk berfikir cara mahu melepaskan diri daripada halangan sinar laser ke ruang lain.

“Apa yang penting, taman tema ini dibangunkan untuk memastikan setiap permainan yang disediakan mampu memberi kepuasan kepada pengunjung dan pada masa yang sama menerapkan ciri-ciri pembelajaran.

“Taman Aktiviti Angry Birds ini juga menyediakan persekitaran untuk seisi keluarga berinteraksi dan berkongsi pengalaman yang menyeronokkan serta mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Tony berkata, pihak­nya merancang untuk menambah bilangan permainan dan mempelbagaikan aktiviti di sini.