Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perdaganggan dan Kepenggunan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, pelaburan tersebut termasuk mendirikan sebuah kilang.

“Syarikat tersebut yang membina bahan binaan berasaskan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) dijangka memulakan operasi pada pertengahan tahun ini.

“Mereka sudah berjumpa saya dan kita mahu industri ini digerakkan secepatnya,” kata­­nya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Zublin Precast Industries Sdn. Bhd. di Kawasan Perindustrian Kampung Lukut, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT), Fizwan Mohd. Rashidi dan Pengarah Urusan Zublin Precast, Josef Michael Kofler.

Siew Kiong berkata, kerajaan negeri akan memudahkan pro­ses syarikat itu untuk melabur sepertimana biasanya dilakukan terhadap pelabur lain tanpa ada karenah biokrasi.

Menurut beliau, pelaburan tersebut adalah satu input yang bagus untuk pembangunan industri dalam daerah ini apatah lagi kedudukannya strategik.

“Tambahan pula, Kota Tinggi merupakan lokasi berdekatan dengan Johor Bahru dan Pengerang. Ini amat sesuai un­tuk pembangunan produk sokongan bagi menyokong keper­luan terutama dalam industri minyak dan gas di Pengerang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Zublin Precast iaitu syarikat dari Jerman berkepakaran dalam penyelesaian dan rancangan pembinaan terowong akan membuat pelaburan tambahan RM10 juta bagi memperluaskan operasinya di Malaysia.

Setakat ini, katanya syarikat berkenaan sudah melabur sebanyak RM43 juta bagi menjalankan operasinya sejak dua tahun lalu.