Pengurus SWM Environment Wilayah Johor, Mohd. Zan Arris berkata, program itu merupakan anjuran entiti tanggungjawab sosial korporat syarikat, SWM Kasih dalam usaha mendampingi dan membantu masyarakat yang memerlukan.

Katanya, program itu disertai warga emas daripada pusat ja­gaan tersebut serta kanak-kanak dari Agape Shelter Kluang dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Damo Kluang.

“SWM Environment telah menyalurkan sumbangan kewa­ngan berjumlah RM1,000 kepada Miriam Home Canossian berserta bantuan pembersihan sisa pukal di pusat jagaan warga emas berkenaan.

“Selain itu, sejumlah RM2,000 pula disalurkan masing-masing kepada Agape Shelter Kluang dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Damo Kluang bagi tujuan pengurusan kebajikan dan pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Majlis penyampaian peralatan beg dan peralatan sekolah kepada para pelajar berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota.

Sementara itu Md. Zan dalam majlis berasingan berkata, pihaknya turut menyumbang sebanyak RM3,000 kepada jawatankuasa Surau Al-Ghaffur di sini bagi tujuan program pembangunan sosial kariah.

Kata beliau, pihaknya berharap agar sumbangan yang disalurkan itu dapat menjayakan agenda pembangunan sosial di negeri ini selain mahukan program seum­pama itu dapat diperluaskan lagi pada masa depan.