Muhammad Daniel Silverajah Abdullah
Muhammad Daniel Silverajah Abdullah

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, suspek adalah Muhammad Daniel Silverajah Abdullah, pemegang kad penge­nalan 880713-01-5391 dan beralamat terakhir di Nombor 2, Jalan Wiramas 2, Taman Wiramas, Tongkang Pechah di sini.

“Usaha mengesan suspek sedang dipertingkatkan selepas dia melarikan diri sebaik tiba di hospital semalam bagi membantu siastan kemalangan mengikut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Suspek dipercayai pengedar dadah dan baharu sahaja dibebaskan dari tahanan reman se­­­minggu lalu berkaitan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Wahadi Jamos, 62, dan isterinya, Rokiah Jangi, 65, meninggal dunia selepas motosikal Honda Class 1 ditunggang mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Viva dipandu suspek.

Dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, Wahadi yang bekerja sebagai tukang kebun di Sekolah Menengah Sains Batu Pahat dalam perjalanan menghantar Rokiah yang bekerja sebagai tukang cuci di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Menurut saksi di tempat kejadian, kereta dinaiki suspek dan seorang wanita itu dipandu dalam keadaan laju dan tidak menentu ke arah kiri dan kanan jalan dipercayai di bawah pengaruh dadah sebelum berlanggar dengan motosikal mangsa.

Suspek dan wa­nita terbabit berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dibawa ke HSNI, namun lelaki terbabit kemudian bertindak melarikan diri.

Mengenai wanita berkenaan, Abdul Wahib berkata, polis mendapat kebenaran mahkamah untuk menahan reman wanita tersebut selama empat hari mulai semalam selepas polis me­nemui sejumlah syabu di dalam begnya.

Katanya, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah.