Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda dan Raja Zarith Sofeah Sultan Idris Shah amat menghargai komitmen serta dedikasi pasukan-pasukan itu yang bertungkus-lumus menjalankan tugas-tugas mereka.

Sultan Johor dan Permaisurinya turut berkenan mengurniakan sumbangan berupa sut perlindungan bahan kimia, alat bantuan pernafasan separuh muka dwi-penapis serta barangan lain untuk pasukan bomba yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sisa kimia.

“Amat dihargai komitmen pasukan perubatan yang secara berterusan memberikan rawatan perubatan kepada mangsa-mangsa yang mengalami pelbagai simptom akibat terhidu gas kimia,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) hari ini.

Baginda dan Raja Zarith turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada Johor Corporation, KFC, Nestle Foods dan Iskandar Investment Berhad di atas sumbangan mereka. - UTUSAN ONLINE