Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pukul 8.27 malam disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Presiden merangkap Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim serta Presiden Persatuan Tionghua Johor Bahru, Datuk Seri Tey Kim Chai.

Sultan Ibrahim kemudian berkenan menyempurnakan simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2018 dengan mengetuk gendang di pentas utama.

Pihak penganjur menganggarkan lebih 500,000 pengunjung, termasuk pelancong asing hadir menyaksikan perarakan itu.

Perarakan sepanjang 10 kilometer bermula dari Kuil Xing Hong di Jalan Ulu Air Molek dan berakhir di Kuil Kuno di Jalan Trus di sini adalah hasil usaha sama lima dialek Tionghua terdiri daripada Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkien dan Teochew, dengan membabitkan kereta berhias.

Festival Perarakan Chingay adalah acara kebudayaan masyarakat Tionghua di Johor sejak tahun 1870. - UTUSAN ONLINE