Turut hadir, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim; Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Sultan Johor turut berkenan menyampaikan sumbangan RM1 juta daripada wang simpanan khas Almarhum Tunku Laksamana Johor, Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim, yang mangkat pada 2015.

Tabung berkenaan turut menerima sumbangan sebanyak RM100,000 daripada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Konvoi kembara terbabit me­nyaksikan penyertaan 50 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Ne­geri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Zulkifli Abdullah.

IPK Johor merupakan destinasi terakhir bagi peserta sebelum pulang ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata TWAP merupakan tabung yang diwujudkan bagi membantu dan memelihara hal ehwal kebajikan pesara serta bekas polis.

Menurutnya, terdapat lima jenis bantuan iaitu khairat kematian, perubatan, bantuan membeli alat pergerakan seperti kerusi roda, pendidikan dan bencana alam yang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pesara PDRM yang boleh dipohon oleh pesara atau bekas polis.

“Apa yang jelas, bantuan tersebut sedikit sebanyak meringankan beban kewangan para pesara dan bekas polis kerana pucuk pimpinan tidak pernah melupakan khidmat bakti mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Katanya, perjalanan konvoi bagi siri kedua berkenaan bermula semalam dengan menjelajahi dua negeri, dimulai dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan berakhir di Johor, hari ini.

Setakat ini, sebanyak RM2.5 juta nilai keseluruhan hasil sumba­ngan individu dan syarikat korporat terkumpul bagi fasa satu yang berlangsung dari 18 hingga 22 Februari lepas melibatkan penjelajahan merentasi empat buah negeri iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. – BERNAMA