Ketibaan baginda dan rombongan pada hari ketiga Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2017 di Dataran Segamat kira-kira pukul 12 tengah hari 'disambut' hujan lebat yang berlaku sejak sejam awal.

Sultan Ibrahim tetap tersenyum dan melambaikan tangan kepada masyarakat berbilang kaum yang setia menunggu ketibaan baginda di tepi-tepi jalan seawal pukul 10 pagi.

Namun, hujan agak membata­s­­­kan pergerakan baginda untuk bersalaman dan beramah mesra de­ngan rakyat jelata.

Walaupun hujan, namun acara-acara seperti sukan rakyat tetap dijalankan dengan meriah di beberapa lokasi persinggahan.

Nyata, jelajah selama empat hari KMJ kali ini agak mencabar apabila baginda dan rombongan terpaksa mengharungi perjalanan dalam keadaan basah ekoran hujan di beberapa tempat sepanjang laluan sejak hari pertama yang bermula di Dataran Bandaraya di Johor Bahru, Sabtu lalu.

Pada hari ketiga, baginda menjelajah ke daerah Segamat dan Muar.

Pada hari terakhir esok, rombongan KMJ 2017 akan meneruskan jelajah ke daerah Batu Pahat, Pontian dan Kulai.

KMJ 2017 yang merupakan edisi ke-20 melibatkan perjalanan sejauh 808 kilometer menjelajah ke 10 daerah di negeri ini.