Pengarah Institut Kajian In-
­s­titusi Raja, Kepimpinan dan Komuniti, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, cada­ngan penulisan semula sejarah tidak perlu dilakukan kerana fakta yang ada tidak boleh diubah, cuma andaian masyarakat yang menyatakan fakta tersebut tidak betul.

Menurutnya, semua negara di dunia ini mempunyai sejarah tersendiri begitu juga dengan negara ini dan tidak sewajar­nya ada pihak yang mahu me­ngubahnya.

“Walaupun sejauh mana kejayaan seseorang, sejarah masa lampau selalu dijadikan rujukan kepada anak-anak mereka, begitu juga dengan negara ini kerana rakyat perlu menghargai sejarah yang ada,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menjadi ahli panel Forum Patriotisme, Jati Diri dan Ketatanegaraan di Kukup Golf Resort, di Pontian, di sini baru-baru ini.

Forum anjuran Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan kerjasama UMNO Bahagian Tanjung Piai itu tururt dianggotai Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman, manakala Pensyarah Kanan Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ku Hasnan Ku Halim bertindak sebagai mode­rator.

Yang turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai.

Ramlah berkata, setelah negara mencapai kemerdekaan selama 61 tahun, sepatutnya semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan budaya telah memahami bagaimana negara ini dibentuk oleh pemimpin terdahulu.

“Sewajarnya kita sama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian yang ada tanpa me­nyinggung perasaan mana-mana pihak dan memastikan keadaan yang tenteram terus terpelihara,” katanya sambil menegaskan supaya semua perkara yang termaktub dalam perlembagaan termasuk melibatkan orang Melayu serta institusi yang menjaga kebajikan mereka tidak sewajarnya diganggu-gugat.

Beliau berkata, wujudnya pandangan dan pendapat yang berbeza mungkin disebabkan kurangnya pengetahuan me­ngenai sesuatu perkara dan sebarang ketidakpuasan hati tentang dasar dapat disalurkan kepada pihak kerajaan, bukannya menuding jari terhadap perlembagaan negara.