Pengarah Pendidikan negeri, Shaharudin Sharif berkata, nilai PNGK negeri itu mengatasi nilai PNGK peringkat kebangsaan, ia­itu 2.76 peratus.

Menurutnya, seramai 65 calon berjaya mendapat PNGK 4.00 dari­pada keseluruhan 4,803 calon, iaitu sebanyak 1.39 peratus.

“Peratusan calon yang mendapat PNGK 4.00 bagaimanapun menurun sebanyak 0.45 peratus berbanding 2016, iaitu seramai 65 orang berbanding 89 calon pada tahun terdahulu.

“Daripada 65 calon tersebut, 25 merupakan calon aliran sains, manakala 40 lagi calon aliran sastera,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, di sini hari ini.

Antara sekolah yang berjaya melahirkan calon cemerlang pa­ling ramai ialah SMK Tasek Utara, SMK Tinggi Muar dan SMK Sultan Ibrahim, masing-masing dengan tujuh calon serta SMK Tinggi Batu Pahat (empat calon).

Shaharudin berkata, SMK Tengku Mahkota, Muar pula menerima Anugerah Sekolah Terbaik peringkat kebangsaan dengan PNGK 3.25 peratus, membabitkan 100 peratus lulus penuh dan tiga calon cemerlang.

“Sementara itu, dua calon STPM dari negeri ini dipilih menerima Anugerah Pelajar Terbaik peringkat kebangsaan, iaitu Wong Jia Liang dari SMK Tinggi Muar dan Umie Nadia Ismail Firdaus Low dari SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar,” katanya.