Graduan Sijil Kemahiran Malaysia Perekabentuk Multimedia, Animasi dan Visual dari Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor itu berkata, azamnya sebelum ini satu sahaja iaitu untuk berjaya dalam pengajian serta menggenggam sijil.

“Pada mulanya saya hampir berputus asa apabila pertama kali terpaksa berjauhan daripada keluarga selain keadaan diri yang hanya boleh mengambil makanan tertentu terutama nasi berlauk kacang tanah goreng.

“Namun saya tetap bertekad ingin membuktikan bahawa saya juga mampu berjaya dan hidup berdikari dengan sokongan ka­wan-kawan biarpun terpaksa tabah menimba ilmu jauh daripada keluarga,” katanya.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu bergelar graduan dalam majlis Konvokesyen Kumpulan Pendidikan Yayasan Pelajaran Johor (KPYPJ) ke-19 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, semalam.

Ahmad Nor merupakan antara 902 graduan KPYPJ yang menerima sijil dan diploma masing-ma­sing disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pe­nerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday.

Daripada ke­seluruhan 902 gra­duan tersebut, 518 merupakan graduan KPYPJ yang berpusat di kampus induk di Kota Tinggi manakala selebihnya dari Kolej Kemahiran dan Teknikal Johor.

Ahmad Nor Bakti yang mempunyai kekurangan fizikal kerana kaki serta tangan kirinya tidak mampu berfungsi sepenuhnya sejak kecil memberitahu, makanan rujinya nasi dengan lauk kacang tanah goreng.

“Saya hanya boleh makan nasi putih berlaukkan kacang tanah goreng dan setiap bulan, ibu akan membekalkannya apabila saya pulang bercuti di rumah di Gombak, Selangor. Sekiranya juadah lain, makanan itu akan terkeluar semula,” katanya.

Sementara itu, graduan Diploma Teknologi Seni Bina, Sekolah Kejuruteraan Sains Kreatif, Kolej Yayasan Pelajaran Johor (KYPJ), V. Haashvini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Menteri Besar Johor dalam majlis tersebut.

Berasal dari Ulu Tiram, Johor, bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Pontian itu berjaya membawa pulang satu pingat emas, plak serta sijil penghargaan selain cek RM2,000 selepas mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.82.