Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, negeri ini sudah membuktikan­nya melalui penganjuran Kejoha­nan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor (SOJC) pada setiap tahun sejak 2009 hingga kini.

“SOJC merupakan kejohanan besar, berprestij dan menjadi satu mercu Johor di persada antarabangsa. Sejak diperkenalkan kita telah menerima pengiktirafan antarabangsa sekali gus melakarkannya sebagai satu ke­johanan berprestij dalam takwim pertandingan hoki dunia.

“Kejohanan ini melibatkan nama-nama besar dalam dunia hoki. Menjadi tuan rumah kepada satu acara berprestij seperti ini bukan perkara yang mudah. Ia memerlukan persediaan rapi, kepakaran yang mencukupi dan prasarana yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ke­­ti­ka berucap dalam Majlis Pe­lanca­ran Kejohanan SOJC kali ketujuh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini yang disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dalam majlis itu, kejohanan SOJC menerima tajaan RM1.89 juta antaranya daripada kerajaan negeri berjumlah RM500,000 selain RTM dan Astaka Padu Sdn. Bhd. masing-masing RM200,000 dan Yayasan Harmoni, Genting Highland, UM Land, Johor Corporation, JBB Builders (M) Sdn. Bhd., Tenaga Nasional Berhad dan SP Setia masing-masing RM100,000.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday merangkap Presiden Persatuan Hoki Johor serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.

Mohamed Khaled berkata, menariknya pasukan terkenal dunia seperti dari Australia yang berada pada kedudukan kedua dunia, India (keenam dunia), England (ketujuh dunia) Jepun (ke-17 dunia) dan yang terbaru Amerika Syarikat (ke-26 dunia) menyertai SOJC kali ini.

“Lebih menarik lagi, ramai pemain yang pernah beraksi di gelanggang Kejohanan SOJC te­rus berkembang sehingga dipilih mewakili pasukan negara mereka ke pentas yang lebih besar, seperti piala dunia dan sukan Olimpik.

“Misalnya Manpreet Singh dan Harminder Singh dari India, Gonzalo Peillat dan Maico Gasella (Argentina), Phil Roper dan Jonty Griffiths (England) serta Jeong Bun Jin (Korea Selatan). Tidak ketinggalan pemain-pemain ternama seperti Faizal Saari, Fitri Saari dan Faiz Helmi Jali dari pasukan negara kita sendiri,” katanya.

Sementara dalam sidang akhbar selepas itu, Md. Jais berkata, pihaknya mahu Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) menghantar pasukan berkualiti dan bukan menghantar pemain yang hanya mahu dijadikan bahan eksperimen dalam SOJC kali ini.

Jelas beliau, penyertaan me­reka dalam SOJC kalini secara tidak langsung sebagai persediaan untuk Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2019 yang hanya beberapa tahun lagi.