Itulah perumpamaan paling sesuai apabila sambutan Fiesta Nanas Ulang Tahun ke-60 Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) diadakan di daerah ini baru-baru ini.

Tepat sekali apabila LPNM yang dikenali Lembaga Perusahaan Nanas Tanah Melayu (LPNTM) semasa penubuhannya pada 1957 memilih Pontian sebagai lokasi sambutan ulang tahun tersebut. Ini kerana tanaman nanas mempunyai sejarahnya yang tersendiri di daerah ini.

Mengimbau kembali penanaman nanas yang merupakan sejenis tanaman tropika berasal dari bahagian timur Amerika Selatan diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke-16 oleh pedagang-pedagang Portugis ke rantau ini.

Selaras perkembangan tanaman getah pada tahun 1921, nanas mula ditanam di Singa­pura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Tanaman nanas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut terutama di Johor.

Kini Malaysia merupakan sa­lah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain Thailand, Fili­pina, Indonesia, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Brazil, Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan.

Justeru, penganjuran Fiesta Nanas yang diadakan di Pusat Perdagangan Pontian di sini pada 14 hingga 17 Disember lalu begitu signifikan yang berjaya menarik kira-kira 20,000 pengunjung.

Menerusi Fiesta Nanas itu diadakan pameran sejarah penanaman nanas, jualan pelbagai jenis nanas dan produk berasaskan nanas selain seminar teknologi dan inovasi nanas.

Pengisian program juga dimeriahkan dengan pertandingan gubahan berasakan buah nanas, pelancaran e-Pineapple serta seminar teknologi dan inovasi nanas.

Turut dilancarkan kopi perisa nanas (kopi ngences), forum perdana bertajuk Bagaimana Menjadi Usahawan Berjaya, pelancaran Mobile Food Kiosk, Larian LPNM 60 tahun dan Kayuhan Basikal Lautan Biru.

Ketua Pengarah LPNM, Datuk Mohd. Anim Hosnan berkata, sejak 60 tahun lalu pelbagai cabaran dan halangan telah ditempuh LPNM dalam usaha memartabatkan industri nanas negara.

Katanya, walaupun industri itu mengalami penurunan pada tahun 1990-an, LPNM terus berusaha memastikan peranannya relevan dalam pembangunan sektor pertanian yang boleh menyumbang kepada pendapatan negara.

“Memandangkan kini banyak negara mengeluarkan buah nanas mungkin daripada varie­ti sama, pegawai-pegawai perlu mempunyai ilmu teknikal yang kukuh bagi menghadapi daya saing itu.

“Mereka (pegawai) juga berhadapan pengusaha dan pemain industri nanas yang mungkin berbeza pengetahuan mereka pada masa lalu dengan adanya pelbagai maklumat di hujung jari hari ini.

“Dengan pengumuman kerajaan bahawa tanaman nanas akan menjadi sumber kekayaan baru, tentunya memberikan peluang kepada lebih ramai pengusaha individu mahupun syarikat untuk mengambil bahagian,” katanya ketika ditemui sempena sambutan itu baru-baru ini.

Mohd. Anim berkata, persai­ngan menghasilkan buah nanas berkualiti dengan negara pengeluar nanas lain perlu dilakukan dengan cara amalan pertanian yang baik serta dapat mematuhi protokol negara-negara yang akan mengimpot nanas nanti.

Menurutnya, cabaran itu digalas 340 pegawai LPNM seluruh negara dan sudah tentu mereka bukan sahaja perlu mahir dan berpengetahuan tetapi menjadi pakar rujuk mengenai tanaman nanas dari awal, mengesan pe­nyakit, proses pembesaran, penuaian hingga soal pemasaran.

Mohd. Anim yang dikenali sebagai 'doktor buah-buahan' berkata, pekebun kecil nanas juga perlu diberi pendedahan mengenai penghasilan benih nanas dan pengeluaran buah berkualiti.

Peluang pekebun kecil dan pengusaha tanaman nanas bagi memasarkan nanas mereka ke luar negara terbuka luas dengan adanya pelbagai perjanjian de­ngan negara pengimport, katanya.

Tambah beliau, dengan permintaan yang semakin tinggi, pengeluaran buah nanas perlu ditingkatkan bukan sahaja memenuhi permintaan domestik tetapi ke luar negara seperti menerokai pasaran China dan negara-negara Asia Barat.

Sehubungan itu, Mohd. Anim berharap sambutan ulang tahun itu akan melonjakan industri nanas tempatan pada masa depan dengan menambah keluasan tanaman daripada 15,000 kepada 20,000 hektar.