Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, masyarakat perlu bersikap peka dan mempertahankan alam sekitar mereka bagi mencapai kehidupan yang lebih bermutu.

Katanya, kerajaan negeri pada masa sama tidak akan berkompromi dalam melaksanakan agenda Johor Lestari bagi mengekal dan mempertahankan keindahan semula jadi yang mempunyai fungsi kritikal kepada kehidupan.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya dengan tegas menyatakan ba­hawa Johor Lestari adalah dasar yang sangat teguh kita perjuangkan dan kita tiada Pelan B dalam agenda kelestarian kita jadi kita tidak akan berkompromi.

“Johor yang berkemajuan bukan sahaja Johor yang hijau dan lestari, tetapi rakyatnya berasa terhubung dengan persekitaran.

“Kita mahu rakyat mempunyai hubungan intim, istimewa, aktif dan berkesinambungan dengan ekologi semula jadi,” katanya berucap dalam sambutan Hari Lanskap Johor 2017 di Sireh Park @ Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Yurut turut hadir Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Md. Jais Sarday dan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Azmi Rohani.

Mohamed Khaled berkata, ki­ni ramai mulai sedar sebab perbandaran perlu diperindahkan, dikembalikan kehijauannya te­tapi kesedaran itu mesti diterjemahkan dalam tindakan hingga membentuk gelombang baharu.

Selain itu beliau berkata, setiap pembangunan seharusnya dilaksanakan dalam lingkungan lands­kap persekitaran semula jadi dan tidak tenggelam dalam dunia baharu yang dipenuhi batu dan besi konkrit.

“Tanpa sedar, dalam ghairah kita membangun, kita menebang pelbagai kawasan hutan demi memberi laluan kepada pemba­ngunan pelbagai projek komersial dan hartanah bernilai tinggi.

“Senario ini amat merisaukan. Maka kerana itu, dalam kerancakan kita membangunkan Johor ini kita mesti mengambil pendirian yang tegas,” katanya.

Dalam pada itu katanya, sehingga Oktober tahun ini terdapat sebanyak 2,165 taman awam pelbagai kategori di Johor membabitkan dengan jumlah keluasan kira-kira 3,344 ekar.