Kicauan pelbagai spesies burung bagaikan simfoni muzik menyambut kedatangan pelawat dan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa yang sekali sekala menampar pipi turut menambah damai suasana membuatkan pengunjung seakan-akan berada dalam ‘pelukan’ mesra alam semula jadi.

Tidak hairanlah jika ada yang menganggap Taman Negara Endau Rompin-Selai sebagai 'syurga' bagi mereka yang mendambakan suasana damai alam semula jadi untuk lari daripada kebingitan kota.

Pengurus taman negara ber­kenaan, Muhammad Edika Kamil berkata, selain disajikan keindahan alam semula jadi dengan kepelbagaian flora dan fauna, pengunjung juga boleh mempelajari gaya hidup masyarakat Orang Asli secara lebih dekat.

“Bermula awal tahun ini, kami mewujudkan satu kawasan yang dinamakan Pulau Bertam dengan pengunjung berpeluang melihat, mencuba dan merasai pelbagai aktiviti seharian masyarakat Orang Asli suku kaum Jakun seperti bercucuk tanam, memasak, membuat jerat serta menyumpit.

“Di kawasan tersebut juga terdapat sebuah rumah tradisional mereka yang unik diperbuat daripada sumber hutan dengan din­ding dan lantai kulit kayu serta beratap daun bertam selain plot tumbuhan herba sebagai salah satu tarikan baharu taman negara ini,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada tahun 2003, pengunjung terutamanya yang menginap di kawasan pondok rimba juga berpeluang untuk ‘berkawan’ dan memberi makanan kumpulan tupai yang jinak.

Menurutnya, taman negara tersebut meliputi kawasan seluas 29,343 hektar atau 60 peratus daripada kawasan Hutan Endau Rompin yang diwartakan sebagai hutan simpan dan kawasan perlindungan hidupan liar pada tahun 1930 oleh kerajaan negeri Johor.

Bagi pengunjung yang berminat untuk menikmati kedamaian air terjun, terdapat lima air terjun yang boleh dikunjungi melalui denai hutan yang disediakan iaitu Takah Selor, Takah Pandan, Takah Tempa'ang, Takah Berangin dan Takah Tinggi yang kesemuanya menjanjikan pemandangan dan suasana menarik.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan pengunjung adalah berkhemah, me­lakukan kajian dan penyelidikan, berenang, memberi ikan makan, merakam gambar dan memerhatikan burung, berjalan malam serta melawat arboretum untuk mengenal spesies pokok di kawasan tersebut.

Selain itu, pelbagai kemudahan sediakan antaranya kompleks pelawat, pondok rimba, calet, asrama, dewan makan terbuka, bilik mandi dan tandas, surau, taman orkid, wakaf, tempat BBQ, bekalan air paip dan elektrik, tempat memasak, serta tapak perkhemahan iaitu di Lubuk Merekek dan Lubuk Pandan yang boleh memuatkan lebih 200 orang pada satu-satu masa.

Muhammad Edika, dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, kawasan tersebut bukan sahaja sesuai sebagai destinasi percutian keluarga serta lokasi melakukan aktiviti lasak seperti berbasikal dan menguji kemahiran memandu kenderaan pacuan empat roda, malah menjadi tempat mengadakan kursus, seminar, mesyuarat dan latihan ikhitiar hidup oleh agensi kerajaan dan swasta.

“Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini se­perti tersesat di dalam hutan, pengunjung yang berhasrat me­lakukan aktiviti meredah hutan ke air terjun dan berjalan malam, pihak kami mewajibkan mereka mendapatkan khidmat jurupandu yang terdiri daripada Orang Asli yang mahir dengan selok-belok hutan ini.

“Mereka yang berhasrat untuk berkunjung ke sini perlu mendaftar dan membuat tempahan di Pejabat Urusan Taman Negara Endau Rompin-Selai yang terletak di Bekok terlebih dahulu jika ingin menginap sama ada di calet, asrama atau pondok rimba,” katanya.