Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama (Baksis) Segamat, Hashim Mohamad Kalang berkata, masalah itu bukan isu baharu sebaliknya sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu.

“Masalah kekurangan guru akan memberi kesan secara langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran serta pencapaian murid-murid.

“Kekurangan jumlah guru juga membuatkan beban tugas guru sedia ada bertambah dan dibimbangi akan memberi kesan kepada emosi mereka yang turut mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan dan Hari Kecemerlangan Sekolah Agama Perumahan Awam Labis di sini hari ini.

Katanya, amat menyedihkan terdapat sekolah agama dengan lebih 600 murid mempunyai hanya 13 guru berbanding seramai 30 guru untuk 300 murid di sekolah kebangsaan (SK).

Menurutnya, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana pendidikan agama sama penting dengan pendidikan akademik di sekolah kebangsaan bagi melahirkan insan seimbang rohani dan jasmani.

Beliau juga bimbang ramai guru Tadika Agama Johor (TAJ) yang berkelayakan berhenti kerja disebabkan tidak diserapkan sebagai guru agama ketika ini.

Selain itu katanya, antara faktor utama guru TAJ berhenti kerja mungkin disebabkan elaun yang mereka perolehi agak rendah berbanding guru-guru agama.

Dalam pada itu, Hashim me­nge­sa ibu bapa agar mening­kat­kan penglibatan mereka da­lam sebarang aktiviti badan kebaji­kan sekolah agama bagi memastikan segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Jika kita lihat, ibu bapa seakan tidak berminat untuk memberi kerjasama kepada badan kebajikan sekolah agama berbanding Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) sekolah kebangsaan.

“Saya harap pihak Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) Segamat dapat mencari jalan menarik minat dan memberi kefahaman terhadap tanggungjawab golongan ibu bapa untuk terlibat dalam aktiviti badan kebajikan di sekolah agama,” katanya.