Penolong Pegawai Pendidikan Islam Daerah (PPID) Pontian, Rohani Bustaman berkata, bangunan sekolah agama tersebut dibina di tapak yang digazetkan bagi tujuan tersebut di Taman Utama.

Beliau berkata, dengan siap­nya sekolah agama itu nanti akan memberi kemudahan kepada murid yang tinggal di Taman Utama, Taman Emas Merah, Taman Intan, Taman Kiara 1 dan Taman Kiara 2 yang kini seramai 300 orang.

Menurutnya, projek pembinaan Sekolah Agama Batu 24 itu akan dilaksanakan oleh Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan dijangka siap pada 2019.

“Ketika ini Sekolah Agama Batu 24 berkongsi dengan SK Batu 24 sejak 12 tahun lalu memandang­kannya paling hampir dengan tempat tinggal murid berkenaan,” katanya dalam majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Agama Batu 24 di Dewan Terbuka Taman Emas Merah, Pekan Nanas, dekat sini baru-baru ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kukup yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh.

Yang turut hadir Guru Besar sekolah agama tersebut, Saenah Nurong.

Sementara itu, Suhaimi me­minta ibu bapa supaya mengutamakan pendidikan agama anak-anak yang menjadi teras dalam kehidupan mereka apabila dewasa kelak.

“Peranan ibu bapa sangat pen­ting dalam mencorakkan sahsiah anak-anak supaya mereka menjadi generasi muda Islam yang berpengetahuan dalam hal ehwal dunia dan akhirat untuk masa depan mereka.

“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memenuhi permintaan penduduk yang inginkan kemudah­an pendidikan yang dekat dengan tempat tinggal mereka dari semasa ke semasa,” katanya.