Ketua UMNO Bahagian Ayer Hitam, Datuk Samsul Bahari Jamali, nilai komersial yang terdapat di kampung itu mampu menjadi ikon pelancongan di negeri ini, sekali gus mampu menarik kedata­ngan lebih ramai pelancong.

“Suasana indah sawah padi de­ngan latar belakang suasana kampung mampu menjadi tarikan baharu. Pelancong boleh merasai sendiri pengalaman menanam dan menuai padi secara tradisional serta dapat menikmati beras yang baru dituai.

“Keadaan itu pula disokong industri kecil dan sederhana (IKS) serta ternakan haiwan seperti rusa boleh dijadikan pakej pelancongan,” katanya kepada Utusan Online ketika menghadiri majlis penyampaian bantuan Tekun kepada 31 usahawan kawasan itu di sini hari ini.

Penyampaian bantuan itu disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) , Datuk Mohd Anim Hosnan dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang,Hamzah Bahari.

Samsul Bahari berkata, pelancong akan dibawa melawat pusat IKS yang mengusahakan perusahaan mi siput dan kuih sejuk beku selain dapat merasai pengalaman di pusat ternakan haiwan.

Menurutnya, pakej agro pelancongan yang dilaksanakan itu mampu menambah ekonomi penduduk setempat serta menggalakkan sektor pelancongan di daerah ini.

Katanya, kerancakan pembangunan di kawasan Ayer Hitam juga akan mendapat manfaatnya apabila pelancong dapat menginap sama ada di hotel atau inap desa yang terdapat di sekitarnya terutama di Ayer Hitam.

“Perancangan menjadikan kawasan itu sebagai pusat agro pelanco­ngan sudah dibincangkan bersama beberapa agensi pelancongan di negeri ini dan JKKK Sawah Sagil kemungkinan bertindak mentadbir urus aktiviti tersebut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE