Pengarah SPRM negeri, Datuk Azmi Alias berkata, hingga ki­ni hampir 1,000 orang sudah mendaftar menjadi Sahabat Gerah SPRM sejak dilancarkan pada 1 Ogos lalu.

Beliau berkata, peranan memperluaskan penglibatan ma­sya­­ra­kat menjadi Sahabat Gerah adalah penting untuk terlibat sama de­ngan SPRM dalam usaha pencegahan rasuah dan salah guna ku­asa.

“Matlamat utama Sahabat Gerah SPRM ini adalah bagi me­ngajak masyarakat menjadi mata dan telinga kepada SPRM selain me­nyumbang tenaga dan buah fikiran untuk memastikan rasuah diperangi habis-habisan.

“Kita berharap gerakan ini akan terus berkembang selain ber­upaya mewujudkan masyarakat yang lebih berani serta menanam rasa benci terhadap rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM sasarkan 10,000 keah­lian menjelang hujung tahun ini dapat dicapai,” katanya dalam Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Penjawat Awam Daerah Kulai di Dewan Kampung Melayu Kulai, di sini hari ini.

Bacaan ikrar berkenaan dike­tuai Pegawai Daerah Kulai, Md. Za'nal Misran yang turut dihadiri Pentadbir Tanah Daerah Kulai, Azurawaty Wahid; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Farizal Ismail dan Pegawai Pendidikan daerah, Ishak Mahbob.

Pada majlis tersebut, seramai 160 orang yang terdiri daripada 23 jabatan dan agensi kerajaan melafaz serta menandatangani IBR.

Dalam pada itu, Azmi turut memuji usaha kerajaan ne­geri yang amat komited dengan menyambut baik serta memberi kerjasama penuh terhadap hasrat SPRM dalam memastikan jenayah rasuah dapat dibendung.